Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Saturday, 27 December 2008

Pimpinan Mahasiswa Yang Ideal

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan untuk rakan-rakan sekalian..

Terdetik di hati untuk saya berkongsi apakah ciri-ciri pimpinan mahasiswa yang ideal dari sudut peribadi saya ini. Adakah pemimpin mahasiswa perlu lantang bersuara, berani dengan menggunakan isu mahasiswa sendiri walaupun terpaksa menegakkan benang yang basah ataupun mahasiswa yang bersuara pada saluran yang betul dan menerima kelemahan diri serta mencari jalan untuk memperbaiki dirinya untuk sentiasa memberi khidmat terbaik bagi rakan-rakannya?

Pada pendapat saya, mahasiswa itu sendiri perlu mempunyai penderiannya sendiri. Tidak salah bagi kita bangun menegakkan keadilan demi rakan-rakan kita jika ada sebarang penindasan atau sebagainya, tetapi saya menyarankan anda perlu tahu setiap langkah yang patut diambil untuk mengetengahkan isu ini ke peringkat atasan. Pada peringkat universiti, masih banyak saluran yang terbuka, termasuk bertemu sendiri dengan pentadbiran universiti seperti naib canselor, timbalan naib canselor, pengetua, penyelia dan sebagainya. Dengan ini saya secara terang-terangan menyelar segelintir golongan yang sengaja membawa isu kampus ke peringkat media massa dan saya menganggap ini semua sebagai satu publisiti murahan yang cuba dicari bagi memperoleh sokongan daripada pihak majoriti, dalam konteks kita, mahasiswa itu sendiri. Adakah ini jenis pemimpin yang berwibawa? Sudah tentu jika dia tidak dapat menghormati peraturan dan pemimpinnya sendiri, dia bukan seorang yang layak mejadi pemimpin.

Ada pula yang dikatakan pemimpin boneka kepada sesetengah entiti. Definasi boneka pada pendapat saya adalah seseorang yang hanya menurut perintah melulu tanpa usul periksa. Adakah mereka yang mendapat nasihat, menganalisa nasihat itu dan membuat keputusan untuk bersetuju dengan nasihat itu jika terbukti ia suatu nasihat yang bernas dianggap boneka? Ini menunjukkan pemikiran sempit segelintir orang yang hanya ingin menimbulkan kontroversi serta isu dalam kampus, dan sekali lagi bagi saya ianya satu isu murahan yang dibawa. Pemimpin harus bijak menilai tetapi harus mempunyai sifat terbuka. Menerima kelemahan diri dan meminta nasihat daripada orang yang lebih berpengalaman untuk kita belajar. Saya yakin ini bukan sahaja dapat menambahkan kemahiran kita memimpin tetapi memberi nilai tambah yang lain untuk kita manfaatkan.

Sebagai pimpinan mahasiswa di universiti, seharusnya anda mempunyai pertalian yang baik dengan pengurusan universiti ini sendiri kerana apa-apa masalah atau isu yang timbul, seharusnya mereka yang membantu kita menyelesaikannya. Tanpa pemimpin yg berhemah, pengurusan universiti tidak akan mengetahui apa yang kita alami. Oleh itu, apa sahaja ideologi kita, kita harus mempunyai pendirian yang selari dan berada pada landasan yang sama dengan pentadbiran universiti. Tetapi bukan selari bermaksud ikut sahaja perintah mereka, kerana itu yang dimaksudkan boneka. Kadang-kadang kita perlu keluar dari landasan itu, untuk mencari satu jawapan yang lebih baik dan mengasah bakat berfikir serta cara mengatasi masalah itu kemudian mencadangkan kepada pengurusan universiti kerana mungkin cara universiti mengatasi sesuatu isu tidak seperti yang dimahukan oleh mahasiswa itu sendiri. Di situlah fungsinya kita sebagai pemimpin mahasiswa. Saya memberi contoh, mahasiswa sebagai anak-anak dan pengurusan universiti sebagai ibu bapa. Jika anak itu perlukan wang, mestilah kita minta dengan ibu bapa kita dengan baik bukan melulu minta dan harapkan duit itu serta merta. Anak-anak perlu faham kesusahan ibu bapa untuk mencari duit itu, tetapi mereka akan tetap mencari dan memberi duit pada anak-anak mereka, walaupun kita terpaksa tunggu dalam satu tempoh masa. Walau bagaimanapun jika ibu bapa kita menggunakan cara yang salah mendapatkan duit, kita berhak menegur mereka itu pun dengan cara yang sopan seperti yang telah diajarkan dalam Agama Islam itu sendiri. Renungkanlah..

Jadi kepada rakan-rakan sekalian, saya harap anda lebih pandai menilai yang mana baik dan yang mana buruk. Yang mana intan dan yang mana kaca. Jangan anda mempercayai apa sahaja yang anda dengar kerana itu mungkin indah khabar dari rupa. Ambil masa dan kaji apa yang anda dapat sebelum anda mempercayainya. Pimpinan mahasiswa perlu hadir dari golongan yang berfikiran terbuka dan paham dengan pengurusan universiti bagi menjamin kebajikan kita terbela dan jangan sesekali kita mencari pemimpin yang lantang bersuara tetapi suaranya hanya tertumpu pada satu golongan mahasiswa dan bukan bagi keseluruhan mahasiswa kampus. Biar lambat asalkan selamat, biar cermat asalkan kita dapat terus menjaga kebajikan mahasiswa. Dari mahasiswa untuk mahasiswa

UM is ONE!!!

No comments:

Post a Comment