Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Friday, 26 December 2008

PPSMI : Hala Tuju Sistem Pendidikan Negara

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan...

Kebelakangan ini, negara heboh dengan isu Program Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Ramai yang membidas tindakan negara apabila membiarkan bahasa ibunda kita digantikan dengan bahasa antarabangsa (lingua franca) pada ketika ini. Pelbagai NGO yang membawa nama bangsa Melayu, tak kurang juga daripada pihak pembangkang yang menyelar PPSMI yang dimulakan setelah diilhamkan oleh Perdana Menteri Malaysia Ke-4, Tun Dr. Mahathir Mohamad kira-kira 6 tahun yang lalu.

Tapi tak kurang juga yang masih menyokong PPSMI ini diteruskan terutamanya daripada golongan ahli akademik yang sudah melalui perit getir dan memandang masa depan yang bahasa Inggeris sememangnya penting dalam kehidupan kita seharian, terutamanya dalam bidang ilmu sains dan matematik ini.

Sebagai seorang yang berbangsa Melayu, saya amat memahami sensitiviti bangsa Melayu terutamanya apabila ia sudah termaktub dalam perlembagaan Malaysia. Tidak dinafikan kita tidak boleh sama sekali mengabaikan apatah lagi melupakan penggunaan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian. Tetapi kita tidak harus mempunyai sifat sentimen yang kuat kerana rakyat Malaysia harus peka dan memandang terus ke depan bagi mencapai Wawasan 2020.

Tidak dinafikan PPSMI masih mempunyai kekurangannya. Antaranya negara masih kekurang tenaga pengajar yang terlatih bagi menjayakan program ini. Pada pandangan peribadi, saya merasakan PPSMI ini boleh dimulakan dahulu di sekolah menengah sahaja, dan bukannya terus menapak di sekolah rendah. Tidak dinafikan PPSMI telah menampakkan hasil dengan peningkatan prestasi pelajar dalam peperiksaan UPSR baru-baru ini, tetapi bagi saya ia adalah suatu yang amat berat jika murid tahun 1-6 bagi menyesuaikan diri mereka bagi PPSMI.

Tidak dilupakan bagi murid-murid luar bandar. Mereka adalah dikatakan golongan yang paling terjejas akibat pelaksanaan PPSMI ini. Saya yakin ada pihak yang merasakan murid-murid ini adalah di pihak minoriti dan ia mampu ditangani. Bagi saya, adalah tidak adil jika kita berfikiran sebegini. Saya menyarankan agar pihak Kementerian Pelajaran menumpukan lebih perhatian kepada murid sekolah luar bandar dan tidak meletakkan beban yang amat tinggi kerana kehidupan mereka amat jauh berbeza berbanding kanak-kanak di bandar yang lengkap dengan tusyen, internet dan sebagainya.

Saya turut mengharapkan sistem ini dapat dirombak dengan mengambil sedikit masa melatih guru-guru supaya kita mempunyai tenaga pengajar yang mahir. Ini kerana meraka adalah tonggak kejayaan PPSMI dan tanpa guru siapalah kanak-kanak itu semua. Tetapi pada dasarnya saya amat setuju PPSMI diteruskan tetapi mulakannya di peringkat menengah dengan memberi pendedahan awal sebelum mereka melangkah ke menara gading. Sesungguh anda semua harus memahami bahasa Inggeris amat penting bagi melahirkan lebih ramai intelektual bagi memacu kemajuan negara seterusnya mencapai Wawasan 2020.

No comments:

Post a Comment