Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Monday, 25 January 2010

Masa Sudah Tiba

Assalamualaikum Dan Salam 1Malaysia.

Saat dan ketika yang paling ditunggu-tunggu oleh sekelompok mahasiswa yang benar-benar faham akan perjuangan dan politik kampus kembali semula apabila Pemilihan Majlis Perwakilan Mahasiswa (PMPM) dengan rasminya bermula hari ini.

Hari ini tanggal 25 Januari 2010 telah berlangsung sesi penamaan calon di Auditorium Kompleks Perdanasiswa (KPS) bermula seawal jam 9 pagi dan sehingga jam 6 petang, sesi bantahan calon masih belum selesai.

Calon-calon dijangka akan memulakan kempen dua hari mereka bermula esok hari sehingga hari Rabu sahaja, antara tempoh terpendek kempen dalam sejarah PMPM sebelum ini.

Suasana pada pagi ini dihangatkan lagi dengan pertembungan dua kumpulan besar yang menggungguli politik kampus terutamanya di Universiti Malaya (UM) ini iaitu Pro-Mahasiswa (Pro-M) dan juga Penggerak Mahasiswa (Gerak).

Suasana panas pagi tadi tidak dihiraukan dengan kedua belah pihak saling bertelagah, bertikam lidah menuduh, memfitnah, membuat provokasi serta ada juga yang merujuk pada perpaduan dan perjanjian.

Kami di pihak Gerak tidak akan menyekat mana-mana calon tidak kira tajaan kumpulan mana sekalipun untuk membuat kempen mereka di kolej-kolej mahupun di fakulti masing-masing selagi mereka mengikut syarat dan peraturan yang disediakan.

Kami faham niat Pro-M yang mahu masuk ke kolej-kolej sewenang-wenangnya tetapi jangan ingat kami ini sebodoh itu untuk membiarkan pihak anda membuat onar terutamanya di kolej-kolej kediaman.

Kejadian tahun lepas, di mana beberapa orang Pro-M menceroboh masuk kolej-kolej kediaman tanpa sebarang surat permohonan mahupun pemberitahuan lisan pada pihak kolej menyebabkan beberapa insiden kurang baik terjadi.

Seperti tahun-tahun lepas, ada yang mencuri kain rentang calon-calon tajaan Gerak (ketika itu dikenali sebagai Aspirasi Mahasiswa) dan membakarnya secara terang-terangan di hadapan salah sebuah kolej kediaman.

Tetapi baru-baru ini Pro-M yang melemparkan fitnah tanpa bukti di mana mereka menuduh barisan penyokong Gerak telah pergi membakar kain di hadapan penyokong Pro-M nyata menunjukkan mereka sangat menagih undi simpati.

Oleh itu, saya dan rakan-rakan saya akan mempertahankan ‘rumah’ kami daripada mereka ini membuat onar dan menghuru-harakan serta mengotorkan tempat kami dengan risalah-risalah mereka.

Jika nak masuk rumah orang, apa salah beri salam dan bukan terus menceroboh begitu sahaja.

Anda semua berlatar belakangkan pengajian Islam sudah tentu lebih memahami akan konsep ziarah ini dan jika ia kena dengan caranya, tidak mustahail kami mampu memberikan layanan istimewa pada anda.

Antara lain isu yang dibangkitkan adalah berkenaan sumbangan RM 5000 yang dikatakan telah diberikan oleh HEPA kepada setiap kolej kediaman untuk membiayai jentera-jentera kolej-kolej kediaman.

Nyata surat yang dikatakan sebagai bukti itu juga sebenarnya diragui kebenarannya apabila saudara Fahmi Adilah, jurucakap Sekateriat Presiden Kolej Kediaman UM (SPKUM) menjelaskan beberapa kemusyikalan yang timbul pada surat itu.

Sudah tentu jika mereka tanya pada Pejabat Bendahari tentang pengeluaran wang itu, pejabat itu sudah tentu tidak tahu menahu kerana asal- usul surat itu sendiri sebenarnya amat meragukan.

Pro-M pernah ’mencipta’ surat yang menyatakan TNC HEPA ingin merasuah Ayuni untuk bertanding di pihak Gerak sesi lalu tidak mustahil muncul dengan surat ’ciptaan’ ini sekali lagi.

Akan tetapi, jika terbukti ia benar daripada HEP sekalipun, saya tidak dapat melihat di mana kaitan wang itu dengan jentera Gerak di kolej-kolej kediaman.

Seperti sesi lepas, HEPA memang ada menyalurkan wang sumbangan kepada setiap kolej untuk membiayai kos-kos bagi setiap kolej kediaman melahirkan modal insan yang terbaik dan pemimpin yang mempunyai ciri-ciri insaniah yang tinggi.

Pihak Bendahari mungkin tidak lagi mendapat sebarang informasi tentang pengaliran wang itu ke kolej kediaman kerana surat itu hanya sekadar memaklumkan, bukan menyatakan wang itu sudah dimasukkan ke dalam akaun kolej.

Mereka yang benar-benar aktif kolej pasti sedar akan birokrasi beberapa jabatan dalam UM ini dan kelewatan menerima duit itu adalah normal terutamanya mereka yang sudah biasa menjalankan projek-projek berpunca daripada kelewatan Pejabat Bendahari mendapat maklumat secukupnya daripada pihak HEPA mahupun kolej kediaman.

Selain itu, Pro-M menimbulkan provokasi terbaru apabila menuduh Gerak sekali lagi menerima rasuah kerana Gerak didapati membawa beberapa orang untuk pergi ke Hotel Quality, Shah Alam.

Sejujurnya saya yakin tiada sebarang rasuah yang diamalkan oleh pihak Gerak kerana sebagai mahasiswa, kami bakal pemimpin negara tegar dalam gejala membanteras rasuah sejajar dengan aspirasi negara dalam ’membersihkan’ negara daripada unsur rasuah.

Saya tidak mahu mengulas berkenaan isu ini kerana saya tidak terlibat secara langsung dan informasi yang saya ada amat terhad, tetapi apa yang boleh dikatakan kami seperti yang lain mencari dana sendiri untuk menampung kos kami sendiri.

Sebagai mahasiswa, saya amat menyokong akan perpaduan terutamanya antara kaum-kaum terbesar di negara ini tetapi kecewa apabila mendapati barisan jentera Pro-M yang hadir pagi ini hanya dimonopoli oleh satu kaum sahaja, seperti meyisihkan ataupun tidak mendapat sokongon kaum-kaum yang lain.

Akan tetapi, saya memuji barisan Gerak dan Pro-M yang menunjukkan kematangan dalam berpolitik pagi ini apabila masing-masing bersetuju untuk bersalaman dan bertanding dalam keadaan adil tidak kira di fakulti mahupun di kolej kediaman.

Syabas dan tahniah buat Gerak yang berjaya mengegar dataran Sains pagi ini dan terima kasih kepada Pro-M yang memberi kami suntikan semangat untuk meneruskan agenda perjuangan kami agar mahasiswa dibela tanpa mengira fahaman mana yang mereka pegang.

Dengan berbekalkan empat teras iaitu Agama, Ilmu, Perpaduan dan Kebajikan, Gerak menyeru mahasiswa untuk menilai manifesto setiap calon sebelum mereka dipilih tanpa sebarang kriteria yang sepatutnya.

Pengundian yang pertama kali akan diadakan menggunakan sistem e-undi ini akan berlangsung pada hari Khamis ini, 28 Januari 2010 bermula jam 9 pagi hingga jam 5 petang.

Saya bagi pihak Gerak menyeru rakan-rakan mahasiswa dan mahasiswi untuk turun mengundi bagi menunaikan hak dan tanggungjawab anda untuk memilih pemimpin yang sebaiknya untuk menerajui pimpinan Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya sesi 09/10.

Akhir kata, selamat berjuang dan selamat berkempen untuk semua calon dan buat mahasiswa UM, bijak mencerna informasi, tolak fitnah dan pilih pemimpin yang anda yakin mampu menyuarakan pendapat anda.

UM is ONE!! Towards 1Malaysia.

No comments:

Post a Comment