Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Friday, 1 January 2010

Tahun Baru, Cabaran Sama

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia

Hari ini, seluruh pelusuk dunia menyambut kedatangan tahun 2010 masehi dengan gilang gemilang walhal di Malaysia sendiri disambut dengan percikan bunga api, konsert dan sebagainya.

Akan tetapi, persoalan yang sering timbul di fikiran beberapa golongan rakyat adalah adakah ini berbaloi iaitu menghabiskan wang yang dikira sebagai wang rakyat demi menyambut satu sambutan yang jelas bukan perayaan mana-mana angsa sekalipun.




Segelintir rakyat yang meraikan sambutan tahun baru di Dataran Merdeka. Gambar ehsan Utusan Malaysia




Dengan gagasan 1Malaysia, dahulunya menganjurkan rumah-rumah terbuka untuk sambutan perayaan setiap kaum bagi mencapai dan merealisasikan gagasan ini.

Cara ini sememangnya jelas menunjukkan cara perpaduan dan harmoni rakyat yang berbilang kaum dating berjumpa pemimpin Negara, sanak saudara, sahabat handai dan sebagainya lalu menemui objektif 1Malaysia itu sendiri.

Tetapi bagaimana pula dengan sambutan tahun baru yang dilangsungkan awal pagi tadi, dengan konsert yang diadakan di beberapa tempat, percikan bunga api yang menelan belanja beribu-ribu ringgit serta pergaulan bebas yang terlalu menonjol.

Saya tidak akan terkejut apabila laporan berita yang bakal keluar tidak lama nanti melapork n beberapa pasangan telah ditangkap berkhalwat dan membuat maksiat menjelang tahun baru ini.

Selain itu, saya yakin dan percaya perkara seperti ini tidak langsung menepati aspirasi 1Malaysia di mana kita langsung tidak dapat melihat perpaduan kaum yang utuh sempena menyambut tahun baru ini.

Contohnya di Dataran Merdeka semalam, ia dipenuhi oleh satu kaum sahaja, bukan menyatakan yang lain tiada tetapi amat kurang berbanding kaum yang lain dan ini juga sama di mana-mana tempat sambutan seperti di Bukit Bintang, Gurney di Pulau Pinang dan banyak lagi tempat.

Sampah yang dibuang merata-rata di Bukit Bintang selepas selesai sambutan tahun baru. Gambar ehsan Utusan Malaysia.


Kerajaan harus menganalisa sambutan ini jika mahu ia dijayakan seiring aspirasi 1Malaysia disamping tidak menelan belanja yang tinggi kerana duit itu boleh menjayakan perlbagai projek dan boleh mengukuhkan semula ekonomi negara.

Kepada segelintir rakyat yang masih dalam genggaman penyakit ’hedoisme’ ini, anda perlu sedar yang mana baik dan yang mana boleh membawa anda ke jalan kemusnahan.

Remaja sekarang kian lupa untuk membaca doa awal dan akhir tahun sempena Maal Hijrah tetapi sudah siap seawal jam 7 petang untuk keluar menyambut tahun baru dengan konsert dan percikan bunga api yang bakal disediakan.

Saya yakin ramai anak muda tidak akan sedar di waktu ini, tetapi anda akan menyesali perbuatan kita di waktu muda apabila kita meningkat usia dewasa dan memiliki keluarga kita sendiri

Saya tidak kesal dilemparkan kata-kata seperti kolot dan tidak tahu berhibur asalkan saya tahu saya tidak akan menyesal dengan perbuatan saya sekarang dan mengungkitnya kembali pada masa depan.

Sebagai mahasiswa yang intelek, kita seharusnya pandai menjaga diri dan jika mahu berhibur itu menjadi lumrah remaja tetapi ia perlu diingatkan tentang beberapa perkara yang lain sebelum kita terjerumus ke lembah penyesalan.

Tahun baru yang sering diwarnai dengan azam-azam baru setiap orang merupakan suatu yang baik untuk dijadikan resmi tetapi kita perlu berazam sepenuh hati dan bukan sebagai penyedap hati dikala tahun baru lalu menjadi hangat-hangat tahi ayam sahaja akhirnya.

Tetapi bagi saya, azam saya tidak kira apa-apa jua sambutan adalah untuk menjadi insan yang lebih baik daripada tahun-tahun yang sebelumnya tanpa meletakkan sebarang spesifikasi kerana melihat daripada skop yang luas, kita ada setahun untuk mencapai pelbagai perkara, kenapa kita perlu mengecilkan kepada satu perkara sahaja.

Sebagai seorang yang bergelar remaja, kita seharusnya masih mampu membuat pelbagai perkara dan kerja dalam satu masa supaya kita tidak akan terlepas mana-mana peluang yang ada semata-mata ingin mengikut azam yang telah ditetapkan di awal tahun.

Saya juga menyeru kepada rakan-rakan untuk muhasabah diri kita sepanjang tahun 2009 jika kita tidak mampu melakukan berdasarkan tahun hijrah sekalipun, apa yang telah kita kecapi dan apa yang telah kita gagal untuk laksanakan.

Jadikan tahun 2010 sebagai satu batu loncatan untuk kita kembali sedia menempuh segala cabaran dan dugaan yang pernah kita gagal lalui pada tahun lalu untuk buktikan diri kita sebenarnya masih mampu untuk menakluki apa jua asalkan mempunyai keazaman yang tinggi dan keinginan yang jitu.

Di kesempatan ini saya juga ingin mengucapkan selamat menyambut tahun baru 2010 pada semua rakyat Malaysia terutamanya barisan mahasiswa kenalan saya dan mendoakan agar tahun ini akan membawa seribu satu sorotan yang bermakna untuk anda.

Akhir kata, walaupun kita memasuki tahun baru tetapi sebenarnya cabaran yang akan kita tempuhi tetap adalah cabaran yang lama dan oleh sebab itu, mari sama-sama kita tekad dan nekad bersama-sama untuk menempuh sebarang dugaan yang mendatang demi menegakkan maruah agama, bangsa dan negara di persada dunia.

No comments:

Post a Comment