Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Monday, 27 July 2009

Larangan Membawa Kereta Dalam UM: Pro Dan Kontra

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan

Akhir-akhir ini, isu kereta ini semakin menjadi bualan hangat tiap individu terutamanya mahasiswa Universiti Malaya tak kisah yang mempunyai ataupun yang tidak mempunyai kereta sekalipun.

Ini adalah kerana penguatkuasaan larangan membawa kereta yang dikuatkuasakan atas arahan Naib Canselor bermula 20 Julai 2009 yang lepas.

Ramai yang bingkas bangun menyuarakan rasa tidak puas hati mereka akan keputusan ini kerana sebelum ini belum pernah larangan seperti ini dikuatkuasakan tetapi tidak kurang juga yang bangun berdiri bertepuk tangan tanda setuju.

Walaupun Naib Canselor memberi sedikit ruang kepada mahasiswa selain tahun akhir membawa kereta, tetapi syarat-syarat yang dikenakan seperti masuk melalui pintu Damansara dan meletakkan kereta di tempat yang tertentu dilihat sebagai tidak membantu langsung.

Selain itu, ada juga rungutan yang pejalan kaki sekali pun ingin masuk ke UM perlu menunjukkan kad matrik dan menyamakan tindakan ini seperti berada di ’sekolah berasrama’.

Oleh itu, suka saya untuk membawa para pembaca untuk menilai dan memikirkan kebaikan dan keburukan larangan ataupun lebih sedap didengar sebagai ’arahan’ ini dikuatkuasakan oleh pentadbiran universiti.

Kereta adalah antara medium yang penting dalam kehidupan zaman sekarang dan apa yang kita lihat sekarang ini, hampir 70% pelajar dalam UM berkereta dan hampir 90% pelajar berkenderaan (kereta, motosikal, basikal, dan lain lain).

Antara sebab arahan ini disanggah rata-rata pelajar adalah kerana menyukarkan perjalanan mereka.

Saya yakin tidak ramai yang menggunakan kereta mereka untuk ke kuliah, kecuali pelajar yang tinggal di luar kampus tetapi ia banyak digunakan untuk aktiviti sampingan seperti keluar makan di waktu malam, menghadiri mesyuarat di luar dan sebagainya.

Oleh itu saya menyokong dengan arahan yang menyatakan setiap kolej kediaman perlu memiliki sebuah kafe makanan untuk mengelakkan para pelajar keluar malam semata-mata mencari makanan

Selain itu, rungutan juga timbul untuk menggunakan kereta di dalam kampus bagi perjalanan projek mahupun aktiviti pelajar bagi memudahkan perancangan mereka.

Tidak semua yang bertanggungjawab menjalankan aktiviti ini merupakan pelajar tahun akhir dan sekaligus menyebabkan mereka tidak layak membawa kereta walaupun ia sangat penting bagi digunakan.

Memang benar, kolej mahupun HEP menyediakan van mahupun bus bagi memudahkan pergerakkan pelajar akan tetapi prosedur dan birokrasi yang berlapis-lapis menyebabkan mahasiswa muak untuk melalui semua ini.

Kami mahasiswa jelas dan faham akan dunia realiti yang memang serupa, akan tetapi kami juga meminta agar pihak pentadbiran memahami kesukaran kami dalam meluangkan masa beraktiviti dalam masa yang sama mengejar akademik.

Usah dibandingkan dulu dengan dunia pekerjaan, kerana fokus bila bekerja hanya satu walhal sebagai mahasiswa kita mempunyai banyak fokus dan ini merupakan salah satu sebab mengapa mahasiswa sering merasa diri mereka dikongkong.

Usaha yang dijalankan oleh pengawal keselamatan yang menahan bagi pemeriksaan keselamatan ke atas kereta-kereta yang ingin memasuki UM adalah satu langkah yang baik.

Akan tetapi, pada 20 Julai 2009 tindakan ini telah menyebabkan kesesakan yang teruk dan dilaporkan kesesakan ini telah melibatkan kereta hingga ke Lebuhraya Persekutuan dan membawa kepada campur tangan pihak polis trafik.

Apa yang saya cuba katakan di sini adalah, pihak keselamatan perlu mencari satu jalan ataupun alternetif yang lebih bijak bagi menangani dan membanteras kereta-kereta yang tidak diingini daripada masuk ke dalam UM tanpa menggangu perjalanan kereta yang lain.

Kereta juga merupakan kenderaan yang penting terutamanya berlaku kes-kes kecemasan di waktu malam atau luar waktu pejabat dan memerlukan seseorang itu dihantarkan ke hospital.

Dalam konteks kolej kediaman, memang penyelia bertugas bertanggungjawab untuk menguruskan keadaan ini akan tetapi kita perlu faham akan tugas hakiki beliau yang meletihkan tambahan pula bagi yang hidup berkeluarga, ini mungkin akan menambahkan beban beliau.

Justeru itu, kelonggaran untuk membawa kereta ini juga mampu membawa kepada kebaikan kerana saya yakin mahasiswa yang bijak adalah mahasiswa yang menggunakan kelebihan yang diberi dengan berhemah.

Umum tahu, sebelum ini yang saban hari kita dapat lihat penambahan jumlah kenderaan terutamanya kereta sehingga hampir kesemua tempat letak kereta kelihatan penuh dan tiada lagi ruang kosong.

Sebagai mahasiswa, penimbangan kita harus berpaksikan kebenaran dan juga memberi keutamaan kepada yang lebih memerlukan dan di sini saya ingin menegaskan kita juga perlu memikirkan akan tempat letak kereta bagi staf dan pensyarah.

Memang ya mereka mempunyai tempat letak kereta yang khas, tetapi apa yang berlaku sekarang akibat terdesak, mahasiswa mengambil keputusan meletak kenderaan di tempat letak kereta pensyarah dan menyebabkan pensyarah itu kerugian masa mencari tempat lain.

Siapa yang rugi? Sudah tentu ia merugikan mahasiswa sendiri kerana masa yang bernilai boleh digunakan oleh pensyarah bagi mencurahkan ilmu kepada kita telah disia-siakan oleh kerana tempat letak kereta itu telah diambil oleh pelajar yang tidak bertanggungjawab.

Isu keselamatan juga timbul di sini kerana jika semakin banyak kereta dibenarkan masuk ke dalam kampus akan menyebabkan ia menjadi sukar dikawal dengan tenaga kerja pengawal keselamatan yang tidaklah sebanyak mana pun.

Bila pengawal keselamatan mengetatkan operasi dikatanya pada pengawal terlalu mengongkong tetapi bila berlaku kecurian dituduh pula pengawal tidak membuat kerja, adakah ini cara mahasiswa bertindak, tepuk dada tanya selera.

Memang benar jika dibandingkan dengan universiti-universiti lain seperti UKM dan UPM, tempat letak kereta UM jauh terhad walaupun baru-baru ini saya ada melihat projek membuat tempat letak kereta baru sedang pesat dijalankan di sebelah Kolej 12 dan di hadapan Fakulti Undang-undang.

Walau bagaimana pun, saya yakin dengan penambahan ini masih belum cukup untuk menampung kereta pelajar dan tidak relevan sekiranya pelajar menggunakan ini sebagai alasan untuk meloloskan kenderaan mereka masing-masing.

Perlu diingatkan juga UM adalah jalan penghubung mudah antara Kuala Lumpur, Bangsar dan Petaling Jaya dan ramai pengguna luar yang menggunakan jalan ini bagi memudahkan perjalanan mereka.

Oleh itu, kita dapat lihat alternatif terbaik bagi pelajar adalah untuk masuk menggunakan pintu Damansara yang jarang digunakan dan meletakkan kenderaan di tempat yang berdekatan dengan pintu tersebut kerana tempat itu juga jarang digunakan.

Baru-baru ini saya berkesempatan menjenguk tempat-tempat tersebut dan saya nampak ada diletakkan pos pengawal mungkin untuk menjaga sistem lalu lintas dan keselamatan kereta di sana.

Kemudian pelajar dinasihatkan menggunakan bas shuttle HEP bagi proses perjalanan pergi dan balik daripada fakulti. Saya yakin perkhidmatan bas percuma ini sedang mempertingkatkan mutu perkhidmatannya untuk menampung permintaan semua pihak.

Oleh itu, saya menyeru rakan-rakan supaya tidak memanjakan diri sendiri dan mengeluh akan panas, hujan dan sebagainya kerana ia masih berada di dalam kawalan kita dan jika kita mampu menghadapinya maka kita sebenarnya sudah matang berfikir tentang kehidupan sebenar di dunia ini.

Aduan demi aduan telah dibuat dan Naib Canselor dalam perutusan baru-baru ini masih menegaskan akan merealisasikan arahan ini walaupun terdapat pelbagai reaksi dan bantahan daripada pelajar termasuk MPMUM sendiri.

Di sini saya membentangkan dua hujah kebaikan dan keburukan berkenaan arahan ini bagi kita sama-sama membuka dan berfikir akan arahan ini dan bukan sekadar dibual secara kosong malah mendapat dosa bila kita selitkan dengan unsur kutukan pada orang yang tertentu.

Akhir kata, saya menyeru agar rakan-rakan mahasiswa menerima arahan ini dahulu dan biarkan pemimpin anda berjuang bagi memperoleh apa yang anda perlukan dan mungkin sesi ini tidak berjaya, sesi seterusnya dengan bakal pemimpin yang baru mungkin dapat memenuhi permintaan anda.

Jangan biarkan isu ini merencatkan aktiviti pembelajaran kita seharian, nasihat saya rancang perjalanan lebih awal dan utamakan yang peting dahulu kerana sebagai mahasiswa, saya yakin anda sepatutnya sudah mampu merencanakan apa yang bakal berlaku di masa depan.

UM is ONE!!!

No comments:

Post a Comment