Assalamualaikum dan Salam Perpaduan
Isu PPSMI sememangnya isu yang tidak lekang dibibir masyarakat terutamanya bagi pejuang dan pecinta bahasa Malaysia yang berjuang habis-habisan bagi meminta agar kerajaan memansuhkan dasar ini.
Usaha ini dilihat bakal membuahkan hasilnya apabila kerajaan dalam perancangan untuk memansuhkan dasar ini untuk digantikan dengan sebuah lagi dasar baru yang dijangka akan bermula pada tahun 2012.
Persoalannya yang timbul di sini, adakah benar hal ini boleh memuaskan hati semua pihak terutamanya pihak yang lebih berorientasikan akademik seperti pensyarah mahupun kehendak ibu bapa itu sendiri.
Umum tahu yang bahasa Inggeris merupakan satu bahasa linggua franca pada masa kini dan ia digunakan meluas di seluruh dunia bukan sekadar bahasa penghubung malah ia juga bahasa ilmu di seluruh dunia.
Segelintir masyarakat hanya menumpukan perhatian pada Jepun, Korea mahupun Perancis yang menggunakan bahasa ibunda sendiri bagi memperolehi ilmu dan mengimplementasikan perkara tersebut di negara mereka.
Akan tetapi, adakah mereka terpikir di maha lebih 100 buah negara lain menggunakan bahasa Inggeris untuk tujuan tersebut malah negara-negara seperti Jepun dan Korea tidak terkecuali dalam penggunaan bahasa ini terutamannya dalam bidang perniagaan dan sosial luar.
Berbalik semula kepada isu ini, saya sama sekali tidak menyokong agar PPSMI dimansuhkan secara 100% kerana ini mungkin boleh menimbulkan kekeliruan seperti mana yang berlaku pada permulaan tercetusnya idea PPSMI untuk dijalankan oleh kerajaan kira-kira 7 tahun yang lalu.
Saya juga berasa tindakan ini mungkin di atas sebab faktor-faktor kerajaan yang cuba mengambil hati rakyat semula akibat kemerosotan sokongan pada pilihan raya lalu.
Jika ini adalah sebabnya tanpa rasional yang kukuh, saya berasa sangat dukacita kerana sekali lagi sistem pelajaran kita dipolitikkan oleh orang-orang yang tertentu bagi membawa keuntungan bagi pihak masing-masing.
Apa gunanya menubuhkan suruhanjaya menilai PPSMI suatu ketika dahulu jika keputusan untuk memansuhkan terus ini bakal di ambil oleh kerajaan waktu ini.
Tidak kira jika Kementerian Pelajaran mempunyai strategi mahupun cara lain bagi memartabatkan bahasa Melayu tanpa mengabaikan bahasa Inggeris, saya tetap berpandangan cara ini bukan penyelesaian yang terbaik yang boleh diambil.
Saya berharap dalam pembentangan dasar baru di kabinet oleh Menteri Pelajaran yang juga Timbalan perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin akan mengambil berat akan kepentingan bahasa Inggeris ini sejajar wawasan negara menjadi negara maju menjelang tahun 2020.
Selain itu, saya juga berharap agar bahasa Malaysia akan terus digunakan pakai dalam apa jua bidang lain tanpa mengira latar belakang pendidikan mahupun kedudukan sekolah itu sama ada di bandar mahupun luar bandar.
Menurut Tak Sri Muhyiddin, antara langkah-langkah yang telah diatur oleh kerajaan bagi menggantikan PPSMI adalah menambah bilangan guru dan waktu pelajaran bahasa itu di sekolah, memperkenalkan subjek baru serta merapatkan jurang perbezaan pencapaian murid luar bandar dan dalam bandar.
Kami selaku mahasiswa negara senantiasa menyokong apa jua dasar kerajaan yang dilihat mampu dan boleh memberi manfaat pada negara terutamanya daripada sdut pelajaran negara.
Akan tetapi, kami juga berhak menyuarakan pendapat kami tidak kira yang menyokong ataupun yang membangkang dasar ini agar mempunyai dua kumpulan yang boleh dikira sebagai 'check and balance’ kepada kerajaan untuk memudahkan keputusan mengenainya dibuat.
Oleh itu, saya mengharapkan agar dasar baru yang bakal diperkenalkan bagi menggantikan PPSMI akan terus memartabatkan Bahasa Kebangsaan Malaysia tetapi dalam masa yang sama memberikan penumpuan pada bahasa Inggeris supaya anak-anak bangsa kita tidak akan ketinggalan berbanding dunia luar.
Sesungguhnya, pendapat ikhlas saya ini timbul bukan kerana saya ingin menjadi pengkhianat pada bangsa saya dengan mengagungkan bahasa asing tetapi disebabkan saya sedar melalui pengalaman saya bertapa pentingnya bahasa Inggeris dan perlunya masyarakat Malaysia menguasainya agar kita setaraf negara maju di luar sana.
No comments:
Post a Comment