Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Wednesday 27 January 2010

PFS…Di Mana Letaknya??


Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Baru-baru ini Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengumumkan 20 sekolah hebat ataupun pengiktirafan sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) yang menyaksikan pengetua dan guru besar diberi autonomi tambahan dalam pengurusan kurikulum, kewangan dan kakitangan.

Sekolah terbabit terdiri daripada 10 sekolah berasrama penuh, empat sekolah harian biasa dan enam sekolah kebangsaan.

Sekalung tahniah buat SMK (P) St George selaku wakil tunggal sekolah daripada Pulau Pinang yang mendapat pengiktirafan ini.

Tetapi hal ini juga menimbulkan beberapa persoalan di dalam benak saya apabila sekolah yang tertua di Asia Tenggara, ‘alma matter’ saya yakni SMK Penang Free (PFS) tidak tersenarai dalam golongan sekolah elit ini.


Sekolah yang seringkali menjadi bualan dan idaman setiap pelajar di Pulau Pinang ini nampaknya hanya mampu menjadi ‘jaguh kampung’ dan nyata sudah hilang taring untuk bersaing di peringkat nasional.

Dahulunya sekolah ini menempatkan pelajar terbaik seluruh Pulau Pinang dengan prestijnya sendiri nyata sudah gagal dipertahankan oleh pentadbiran baru sekolah ini.

Seingat saya, kali terakhir PFS menjulang namanya adalah pada ketika En. Arabi menjadi pengetua pada masa itu, ketika saya berada di tingkatan 5.

Selepas itu, beberapa siri kunjungan saya ke sekolah itu nyata mengecewakan apabila melihat beberapa guru berkaliber sekolah berkenaan sudah tidak lagi berada di sana dan juga aktiviti persatuan di sana semakin longlai.

Pada sekitar tahun 2000, PFS adalah antara sekolah yang terbaik dalam sukan hoki, kawad kaki dan juga pancaragam tetapi itu hanya tinggal kenangan apabila nama PFS masa kini kian terpadam.

Pengurusan PFS perlu membuat penilaian supaya nama baik sekolah ini mampu digilap semula dan dinaikkan kembali demi menjaga reputasi nama sekolah ini.

Tidak dinafikan, beberapa siri mempolitikkan sekolah ini mungkin menjadi salah satu sebab kenapa PFS tidak mampu lagi bersaing dalam kancah pendidikan negara.

Campur tangan mana-mana parti politik dalam pengurusan pendidikan negara harus segera diatasi supaya pihak pengurusan sekolah tidak menghadapi apa-apa tekanan luar sebaliknya dapat menumpukan perhatian untuk menghasilkan produktiviti yang baik.

Sikap pelajar juga perlu diambil berat kerana disiplin dan semangat untuk belajar itu perlu dilahirkan oleh guru-guru dan nilai-nilai murni yang ada pada guru-guru perlu diterapkan pada pelajar masa kini.

Selain itu, penerapan agama dan moral juga perlu dijalankan sebaiknya untuk membentuk remaja yang mempunyai peribadi yang baik agar mereka boleh menjadi insan yang berguna justeru menjadi seorang pemimpin yang baik masa pada masa akan datang.

PFS merupakan sekolah yang pernah melahirkan tokoh-tokoh negara seperti Tunku Abdul Rahman, P. Ramlee dan sebagainya perlu terus diabadikan dan usaha gigih perlu dijalankan untuk membersihkan nama yang tercalit arang padanya.

Walaupun PFS gagal mendapat pengiktirafan itu, saya yakin ada hikmah yang sebaiknya dan ini harap-harap dapat menyedarkan pihak pengurusan dan pelajar PFS supaya keluar daripada ‘comfort zone’ masing-masing kerana anda bukan lagi yang terbaik di Pulau Pinang, bahkan pula Malaysia.

Keluhan ikhlas saya ini diharapkan mampu membuka mata rakyat tidak kira pelajar, pendidik mahupun pihak pentadbiran agar kita tidak dibuai mimpi enak kerana menganggap diri kita selesa mendahului orang lain.

Bak kisah perlumbaan arnab dan kura-kura, selaju mana arnab itu dek kerana kemalasan dan semangat bongkaknya arnab itu kalah jua pada kura-kura yang semua orang tahu sejenis binatang yang bergerak sangat perlahan tetapi mempunyai semangat yang kental dan tidak mudah mengalah.

Bangkitlah PFS, semoga PFS dapat membuktikan pada rakyat terutamanya warga Pulau Pinang bahawa PFS masih sekolah terbaik di Pulau Mutiara ini.

2 comments: