Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Friday, 7 May 2010

Selamat Menjalankan Tugas PM KK1 10/11

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Hari ini bermula pengembaraan mendaki gunung pengalaman baru buat 29 orang terpilih untuk menjadi Pembantu Mahasiswa (PM) untuk kolej kediaman pertama sempena pengambilan mahasiswa baru sesi 10/11.

Diharapkan 3 bunga senior yang pernah menjadi PM sebelum ini dapat membantu rakan-rakan lain menyesuaikan diri dan memberi pendedahan sedikit sebanyak dalam perjalanan menjadi seorang PM.

Agak janggal buat diri saya kerana sudah 3 tahun saya menyertai aktiviti ini secara langsung dan saya sudah menganggap minggu haluansiswa sebagai sebahagian daripada diri saya di UM ini.

Akan tetapi, selepas ini saya sudah tidak dapat menyertai apa-apa jua program di kolej mahupun universiti kerana ‘kerakyatan’ saya dalam universiti dan kolej ini bakal terlucut dalam masa yang terdekat ini.

Walaupun begitu, rasa sayang saya pada minggu haluansiswa tidak mungkin dapat dilucutkan dari saya sampai bila-bila kerana ini adalah salah satu aktiviti yang telah membina diri saya dan memberikan pelbagai pengalaman bagi diri saya.

Untuk pengetahuan semua, antara banyak-banyak aktiviti kolej, minggu haluansiswa adalah satu-satunya aktiviti yang saya tidak pernah ketinggalan untuk menyertainya secara langsung sejak tahun satu hingga tahun 3.

Banyak kenangan manis dan pahit yang saya dapat daripada aktiviti selama seminggu ini selain dapat bergaul mesra bersama adik-adik baru dan juga rakan-rakan PM yang lain

Tahun ini sedikit kelainan dibuat apabila PM telah dipilih secara terus oleh pihak pentadbiran dengan kelulusan HEP tanpa menjalankan sebarang temu duga mencari PM.

Saya secara peribadi merasakan hal ini adalah tidak betul kerana peribadi seseorang tidak boleh dinilai dengan apa yang tertulis pada kertas itu sahaja, sebaliknya personality mereka termasuk cara berfikir dan ketrampilan mereka dapat dilihat melalui proses temu duga.

Mungkin pihak pentadbiran mempunyai alas an yang tersendiri tetapi saya dengan rendah diri inginkan adik-adik bakal kepimpinan baru akan datang untuk meminta agar tradisi sesi temu duga diadakan kembali pada sesi depan.

Ini bagi menjamin ketelusan dan kepimpinan yang dipilih untuk menerajui minggu haluansiswa tidak lagi menjadi persoalan dan ini juga peluang anda untuk lebih mengenali pemikiran pengetua dan penyelia yang lain.

Tugas PM sesungguhnya sangat berat dan memenatkan hinggakan ada PM yang demam kuat selepas tamatnya minggu haluansiswa dan ada yang tidak bermaya untuk ke kelas hari selepas haluansiswa tersebut.

Tetapi ianya satu perjuangan yang suci terutamanya bagi membimbing anak-anak muda bakal mewarisi kepimpinan kita suatu hari kelak bukan sahaja di universiti tetapi mereka ini juga bakal memimpin masyarakat di luar sana.

Perjuangan yang menuntut pelbagai pengorbanan daripada insam bergelar PM di mana cuti terpaksa digadaikan, kesihatan dipertaruhkan, penat lelah jadi sajian dan air mata jadi peneman di kala diri dihurung kesempitan.

Tetapi percayalah itu semua bakal menjadikan anda insan yang lebih bersedia untuk menghadapi apa-apa jua cabaran di luar sana bila sahaja anda melaluinya.

Saya akan sentiasa memberi sokongan kepada pimpinan baru kolej pertama di sentiasa bersedia berkongsi ilmu yang saya ada untuk memajukan diri anda serta rakan-rakan yang lain.

Walau bagaimanapun, menjadi PM ini ada kelebihan tersendiri dan bagi saya antara kelebihan yang terbaik adalah anda akan dapat berkenalan dengan ramai kawan baru bukan sahaja PM kolej kita tetapi PM kolej-kolej lain.

Ini akan membolehkan anda bertukar-tukar pendapat dengan kenalan baru mengenai ciri-ciri organisasi di kolej kediaman masing-masing dan juga berkongsi ilmu sepanjang perkenalan anda.

Biar kita ramai kawan di sini kerana satu hari nanti kawan-kawan kita ini mungkin dapat membantu kita apabila bekerja di luar sana kerana hidup kita tidak akan lengkap jika kita bersendirian dan kejayaan akan datang bila kita bersedia berkongsi dengan orang lain.

Buat adik-adik PM yang baru, teruskan perjuangan murni anda, jaga tingkah laku dan disiplin anda untuk menjaga nama baik kolej kita di mata PM daripada kolej kolej yang lain.

Akhir kata, saya mendoakan kejayaan anda dalam menjalani tanggungjawab anda sebagai PM dan insyaalah Minggu Haluansiswa nanti bakal memberi seribu satu macam pengalaman untuk diri anda masing-masing lalu gunakannya demi kebaikan dirimu, agamamu, bangsamu, dan negaramu.

ASTAR is FIRST, UM is ONE!!

1 comment:

  1. PM-PM kena ingat. tugas PM x terhenti setakat Minggu Haluansiswa. gunakanlah pengaruh PM itu untuk membawa junior2 lebih mencintai kolej. PM-PM juga sebenarnya adalah bakal pemimpin kolej. apa guna menjadi PM jika menolak utk menjadi pemimpin di kemudian hari? ini adalah satu pembaziran pengalaman. kos boleh dibayar. pengalama? tidak.
    harap PM-PM yang dipilih tidak gagal dalam hal ini.

    ReplyDelete