Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Friday, 14 May 2010

Piala Thomas Belum Mahu Pulang

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Harapan dan penantian 18 tahun lebur malam tadi apabila Malaysia gagal melayakkan diri ke peringkat akhir perlawanan badminton untuk memburu piala paling berprestij, Piala Thomas.

Laluan getir apabila berdepan dengan pasukan China pada separuh akhir tadi akhirnya menjadi mimpi ngeri buat pemain dan penyokong yang kecewa buat kesekian kalinya.


Perjalanan skuad Malaysia dilihat sangat gugup pada permulaan kempen Piala Thomas apabila tewas dengan pasukan kerdil, Jepun sebelum berjaya menewaskan gergasi Eropah, Denmark di peringkat suku akhir.

Pada pendapat saya, jika skuad Malaysia mahu mengimpikan piala ini mereka perlu terlebih dahulu menyediakan pelapis-pelapis yang setaraf pemain sedia ada dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Nyata sekarang mereka hanya bergantung dan meletakkan beban yang tinggi buat perseorangan utama negara, Datuk Lee Chong Wei dan beregu utama, Koo Ken Kiat-Tan Boon Heong kerana masih belum ada perseorangan dan beregu skuad negara yang boleh dianggap setaraf dengan mereka.

Selain itu, kekuatan mereka perlu seimbang tidak kira pada beregu mahupun pemain perseorangan dan ini sebenarnya adalah sumber kekuatan pasukan yang kuat seperti China.


Persatuan Badminton Malaysia perlu cepat membuat bedah siasat akan kegagalan skuad negara ini dan langkah penambahbaikkan perlu diambil secepat mungkin untuk mengembalikan kegemilangan badminton negara.

Jurulatih sudah silih berganti tetapi kita masih memperolehi masalah yang sama menunjukkan masalah ini bukan berpunca daripada jurulatih semata-mata tetapi mungkin ada faktor lain yang perlu dititikberatkan.

Program pembangunan sukan badminton juga perlu diperhalusi di peringkat muda lagi untuk mencungkil bakat-bakat muda bagi diketengahkan dan digilap menjadi pemain bertaraf dunia suatu hari nanti.

Sehingga Malaysia dapat membentuk satu skuad yang benar-benar mantap, saya merasakan ada baiknya pihak yang berkenaan tidak memberikan harapan yang menggunung kepada penyokong.

Ramai yang tidak dapat menahan emosi kerana harapan yang tinggi diletakkan kepada pemain negara tetapi di penghujungnya, drama yang sama berulang sekali lagi.

Cukup sekadar kita menjadi ‘under-dog’ dan bukan pasukan pilihan seperti status kita sebelum ini agar tekanan pada pemain juga tidak mengganggu perhatian mereka untuk memenangi perlawanan masing-masing.

Sebagai penyokong, saya yakin mereka dan saya sendiri akan terus menyokong pasukan negara kita tidak kira apa statusnya dengan syarat mereka memberikan satu perlawanan yang baik dan bersemangat.

Walau bagaimanapun, tahniah buat skuad Piala Thomas 2010 atas usaha gigih dan semangat yang ditunjukkan walaupun tidak dapat untuk melangkah lebih jauh.

Perlawanan yang ditunjukkan semuanya boleh dikategorikan sebagai baik tetapi beberapa faktor seperti emosi, usia, pengalaman dan keserasian membuatkan kita masih belum mampu merangkul piala itu semula.

Buat pihak pengurusan badminton negara, teruskan mencungkil bakat-bakat baru supaya lebih ramai pemain berkaliber dilahirkan sebagai senjata menumbangkan ‘Tembok Besar’ China itu.

Buat skuad badminton negara, jangan putus asa dan lipat gandakan usaha anda supaya impian kita ini akan menjadi realiti suatu hari kelak.

Akhir kata saya selaku penyokong menyeru penyokong lain di luar sana supaya terus menyokong skuad badminton negara tidak kira menang atau kalah demi mencapai misi yang sudah lama kita idamkan.

Malaysia Boleh!!!

No comments:

Post a Comment