Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Wednesday, 12 May 2010

Mengapa Judi Boleh Lulus??

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Kerajaan baru-baru ini telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka mungkin akan menimbangkan untuk meluluskan lesen judi bagi beberapa pemohon sesama berlangsungnya Piala Dunia 2010 tidak lama lagi (merujuk artikel ‘Kerajaan timbang beri lesen pertaruhan Piala Dunia’, Berita harian 6/5/2010).

Ini kerana mereka menganggap jika lesen ini tidak dibekalkan, maka lebih ramai orang yang akan terlibat dengan kes perjudian haram dan mengeruhkan lagi keadaan.

Pada pendapat saya, hal ini tidak sepatutnya timbul jika kerajaan benar-benar faham akan konteks judi itu dan mengapa orang ingin berjudi ini terutamanya orang yang beragama Islam.

Jika kerajaan boleh memerangi gejala rasuah, tidakkah terlintas yang gejala judi ini juga merupakan satu aktiviti merosakkan moral serta menjejaskan intergriti individu itu sendiri sama seperti gejala rasuah.

Oleh sebab itu, kerajaan sepatutnya tidak boleh meluluskan apa-apa lesen judi malah ini sepatutnya diperangi habis-habisan terutamanya bila ada orang Islam yang terlibat.

Inilah fungsi jabatan-jabatan agama dan majlis agama negeri dan persekutuan iaitu memerangi sebarang gejala yang membawa ke arah maksiat lalu menjadikan persekitaran masyarakat ini sebagai satu ummah yang mulia.

Walau bagaimanapun, negara kita tetap merupakan sebuah negara yang bebas beragama dan ini bermakna kita tidak boleh memaksa mana-mana individu yang beragama lain untuk terikat dengan ajaran dan peraturan agama Islam.

Oleh sebab itu, jika judi mahupun kelab-kelab malam ini ingin ‘dikurniakan’ lesen seperti yang dipohon, peraturan yang ketat perlu dikenakan terutamanya berkenaan penglibatan orang Islam.

Selain itu, penguatkuasaan yang kerap juga perlu dijalankan oleh badan-badan penguatkuasa supaya gejala ini tidak menjadi trend hingga mempengaruhi anak-anak muda.

Pendidikan awal juga perlu mendedahkan keburukan berjudi dan kesalahan sosial yang lain supaya kita dapat membendung anak muda kita daripada terjebak.

Teringat saya pada kes baru-baru ini apabila seorang tokoh politik dikecam habis-habisan kerana dikatakan terlibat dalam arena perjudian.

Apa guna dia dikutuk, ingin menjatuhkan air mukanya ataupun ingin memberi nasihat kepada orang ramai yang judi itu perkara yang haram?

Jika kerajaan meluluskan lesen ini tanpa sebarang peraturan dan penguatkuasaan yang setimpalnya, sama sahaja seperti membiarkan orang ramai yang lain terjebak dengan gejala ini dan sekiranya dia menjadi calon pilihan raya, dia dimalukan dengan kesalahan yang tidak dibendung oleh pihak kerajaan?

Suatu perkara yang dilihat kurang adil di mata kita tetapi ini adalah realiti dan realiti ini tidak sepatutnya terjadi selagi mana kita berpegang pada pelembagaan kita iaitu Islam sebagai agama ramai, oleh itu kita harus menegakkan peraturan Islam dahulu.

Dilihat masih ada pemimpin di luar sana yang kabur dengan misi dan aspirasi kerajaan supaya kita dapat membangunkan sebuah negara yang lebih cemerlang bukan sahaja dari segi luaran malah rohani juga.

Dengan ini, saya sekeras-kerasnya membangkang cadangan agar kerajaan meluluskan apa-apa lesen berkenaan judi supaya kita dapat membendung lebih banyak lagi masalah yang berkaitan sosial masyarakat kita.

Selain itu, pemimpin perlu memperhalusi teknik-teknik mahupun kaedah-kaedah sebaiknya supaya kita dapat memulihkan moral serta masalah sosial yang sedang dihadapi oleh masyarakat terutamanya golongan remaja.

Akhir kata, kita berdoa agar Allah sentiasa memberi petunjuk yang baik kepada pemimpin kita supaya generasi seterusnya akan membawa Malaysia ke arah yang gemilang bukan sahaja di bidang pembangunan fizikal malah juga pembangunan moral masyarakat.

No comments:

Post a Comment