Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Thursday, 20 May 2010

Sebelah Kaki Menuju Konvo

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Alhamdulillah syukur pada Ilahi atas kurniaanNya saya telah berjaya menamatkan pengajian saya di peringkat sarjana muda dengan cemerlang.

Walau bagaimanapun, keputusan yang saya perolehi semester ini agak meleset dari jangkaan sekaligus menyebabkan saya gagal merebut peluang menjadi antara pelajar yang mendapat keputusan ‘1st class’.

Dalam dunia yang serba mencabar, hanya yang berkelayakan tinggi dan cemerlang mampu meneruskan perjuangan ke peringkat lebih jauh, oleh itu saya juga mengharapkan saya dapat menaikkan ‘pointer’ saya pada semester ini.

Peperiksaan yang dilalui kebanyakannya mudah dan tidak memberi banyak tekanan dan masalah kepada saya menyebabkan saya mengesyaki satu lagi sebab utama saya tidak lulus cemerlang.

Antaranya adalah peperiksaan pertengahan semester dan juga tugasan-tugasan yang diberikan oleh pensyarah mungkin menyebabkan keputusan saya tidak ke tahap yang saya inginkan.

Mungkin terdorong dengan sifat sambil lewa dan rasa malas menyebabkan saya tidak begitu tekun pada awalnya tetapi hanya mendapat ketekunan itu apabila sudah dekat dengan peperiksaan.

Oleh itu, saya ingin berpesan pada rakan-rakan yang masih meneruskan pengajian agar tidak leka di awal pengajian.

Tugasan perlu disiapkan dengan baik agar pensyarah tidak ragu-ragu untuk memberi markah yang lebih dan setiap kali peperiksaan mahupun kuiz perlu dititikberatkan tidak kira apa subjek sekalipun.

Akan tetapi kekecewaan saya ini telah diubati dengan keputusan cemerlang dalam peperiksaan bagi mendapatkan sijil ‘MCTS: Managing project’ kelolaan Prestariang di bawah Kementerian Pengajian Tinggi.

Selama 10 hari pengorbanan saya berjalan kaki pergi dan balik daripada kolej Pertama hingga ke Akademi Pengajian Islam akhirnya terbalas sebentar tadi apabila mendapat keputusan sebaik sahaja tamat menjawab soalan peperiksaan tersebut.

Terima kasih juga buat Puan Shalina yang banyak memberikan tunjuk ajar dan dorongan kepada saya dan rakan-rakan dalam menggunakan perisian ‘Microsoft Project 2007’ hingga kami mampu menggunakannya untuk kegunaan masa depan.

Program sebegini adalah baik untuk para lepasan ijazah sebagai nilai tambah agar kita mudah memasarkan diri ke alam pekerjaan kelak.

Selain itu, program ini juga telah membolehkan saya mendapat kenalan baru dan tidak sia-sia ia dijalankan kerana ilmu yang disampaikan adalah sangat berguna dan bermanfaat buat diri saya.

Saya yang juga amat berminat dalam bidang projek dan pengurusan merasakan program ini perlu diteruskan lagi buat masa-masa akan datang kerana ia membawa banyak kelebihan terutamanya buat mahasiswa yang bakal menamatkan pengajian.

Selesai sudah segalanya, saya cuma ada 2 hari lagi di Kuala Lumpur sebelum balik ke Pulau Pinang bagi meneruskan perjuangan mencari sesuap nasi.

Buat seketika waktu, saya mungkin akan menumpukan perhatian saya dalam misi mencari kerja di Pulau Pinang kerana besar kemungkinan hasrat bekerja di Kuala Lumpur adalah amat tipis.

Terdapat beberapa masalah peribadi yang tak dapat saya gambarkan tetapi saya hanya boleh redha pada ketentuanNya dan mengharapkan keputusan yang saya ambil ini tepat demi masa depan saya.

Esok saya masih perlu menghadiri seminar berkaitan ‘Softskill’ yang juga kelolaan Prestariang sehingga hari Sabtu dan akan pulang pada hari Ahad.

Pelbagai cabaran dan dugaan telah berjaya diharungi dan di atasi sehingga saya sudah berjaya melangkahkan sebelah kaki ke dewan konvo pada Ogos akan datang.

Akhir kata, selamat tinggal Kuala Lumpur untuk seketika waktu dan Insyaalah jika diizinkanNya, saya akan kembali di sini untuk terus merangka dunia kerjaya saya.

No comments:

Post a Comment