Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Tuesday 3 March 2009

Kolej Kediaman Pertama Mungkin Diwartakan Tapak Warisan Negara

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan

Baru-baru ini sempena majlis penutupan Pesta Budaya di Dewan Tun Perak, Pengetua Kolej Dr. Woo Chaw Seng dalam ucapan perasmian penutupan beliau ada menyebut yang kolej kediaman Pertama atau lebih dikenali sebagai ASTAR yang merupakan kolej tertua di Universiti Malaya mungkin akan mendapat status Tapak Warisan.

Ini merupakan satu langkah yang baik mengenalkan kolej kediaman Pertama di mata masyarakat terutamanya rakyat Malaysia. Saya dapat melihat beberapa kebaikan jika hal ini diwartakan terutama dari segi tajaan projek-projek yang bakal diadakan.

Oleh itu, saya ingin berkongsi sedikit sejarah kolej kediaman Pertama yang saya peroleh daripada laman web rasmi kolej.

Sejarah Asrama Tuanku Abdul Rahman (ASTAR)
Kolej Kediaman Pertama merupakan kolej kediaman yang tertua sekali di Universiti Malaya. Ia dibina pada tahun 1959 dan terdiri daripada tiga buah blok ketika itu iaitu Blok A, B dan C. Kumpulan pertama yang menginap kolej ini cuma 28 penghuni sahaja dan angka ini terus meningkat dari semasa ke semasa kepada 265 orang. Para penghuninya pada masa itu terdiri daripada penuntut-penuntut tahun tiga Fakulti Sastera dan Kejuruteraan yang telah dipindahkan daripada Universiti Malaya cawangan Singapura. Dengan bertambahnya bilangan penuntut di Universiti ini, dan bagi memenuhi keperluan tempat penginapan, maka pada tahun 1971, dua buah blok tambahan dibina iaitu Blok D dan Blok E yang boleh menampung seramai 270 orang penghuni baru.

Pada mula kolej ini dibina, ianya diduduki oleh penghuni lelaki sahaja. Bilangan penghuni perempuan adalah amat sedikit dan akhirnya tidak lagi menginap di sini. Namun demikian, menjelang tahun 1968, pihak kolej telah memberi kebenaran sekali lagi kepada pelajar perempuan (senior) untuk menginap di kolej ini. Mereka ditempatkan di Blok A sementara penghuni lelaki ditempatkan di Blok B dan Blok C. Kini, jumlah penghuni kolej ini mencecah bilangan 700 orang.

Kolej ini pada mulanya dikenali sebagai Kolej Pertama (First R.C.) kerana ia merupakan kolej yang mula-mula didirikan di kampus ini. Ia kemudiannya ditukarkan kepada nama Kolej Tuanku Abdul Rahman (KTAR) sempena mengambil nama D.Y.M.M. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang pertama iaitu Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad. Pada tahun 1978, KTAR telah ditukar namanya kepada Asrama Tuanku Abdul Rahman (ASTAR) dan pada tahun 1993, ia ditukarkan kepada Kolej Kediaman Pertama.

Buat pertama kalinya, kolej ini menganjurkan program sukan di antara KTAR-DRN (Duncan Road Hostel, Singapura) dalam tahun 1968. Pada tahun 1982, perlawanan persahabatan antara KTAR dengan SHEARES Hall diadakan. Oleh kerana kemenangan sentiasa berpihak kepada kolej ini, maka kolej ini sentiasa disegani oleh kolej-kolej lain.

Dari segi kegiatan lain, PRIMA iaitu majalah tahunan kolej ini mula diterbitkan pada tahun 1965. Berita KTAR diterbitkan pada tahun 1969 dan digantikan kepada SINAR ASTAR pada tahun 1980. Sehingga kini, majalah tahunan kolej tersebut masih tetap dengan majalah PERTAMA.

Band pertama ASTAR “ THE RAMANITES” ditubuhkan pada 1967. Dua tahun kemudian, koir kolej dibentuk dan dinamakan “KTAR SING ALONG CHOIR”. Lagu kolej “UP FIRST RC” telah dicipta pada tahun yang sama. Pada tahun 1992, ALUMNI telah ditubuhkan di mana ahlinya terdiri daripada bekas-bekas penghuni kolej ini. Presidennya yang pertama adalah YB Datuk K. Pathmanathan.

Semasa awal tahun 60-an, kegiatan kolej ini telah ditadbirkan oleh JCRC (JUNIOR COMMON ROOM COMMITTEE) yang kemudiannya digantikan oleh MBA (MAJLIS BERMESYUARAT ASRAMA) pada tahun 1975. MBA dimansuhkan dan digantikan oleh JIA (JAWATANKUASA INDUK ASRAMA) dan JTA (JAWATANKUASA PERKEMBANGAN) iaitu Kemasyarakatan, Perkhidmatan Kolej, Akademik, Kreatif, Sukan serta Kerohanian dan Adab Sopan.

Sehingga kini, terdapat perubahan nama pada kedua-dua pentadbiran kegiatan di kolej ini. Perkataan “ASRAMA” pada JIA dan JTA telah digantikan kepada “KOLEJ” iaitu JIK dan JTK yang bersesuaian dengan fungsinya. Daripada situ juga, lima jenis JKP dikekalkan dan diubah namanya kepada Kemasyarakatan dan Kebajikan, Akademik dan Intelektual, Kreativiti dan Kesenian, Sukan dan Rekreasi serta Kenegaraan, Etika dan Patriotisme.

No comments:

Post a Comment