Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Saturday, 21 March 2009

Kita Gaduh, Lain Tersenyum

Assalamualaikum dan Salam perpaduan

Saya semakin risau dengan gelagat orang-orang kita dalam negara ini terutamanya di bahagian politik yang tidak pernah surut-surut dengan kontroversi dan konspirasi.

Tika orang-orang kita gaduh, bertikam lidah, berdemonstrasi dan mencaci, mereka yang lain duduk ketawa terbahak-bahak.

Dulunya dikatakan PAS dan UMNO tak dapat bersatu dan menyebabkan perpecahan antara 2 kumpulan besar daripada satu bangsa yang sama.

Akan tetapi dewasa ini, keadaan semakin membimbangkan apabila dalam parti politik itu sendiri ada puak-puak sendiri menjurus kepada bibit-bibit perpecahan.

Di kem UMNO, lihat bagaimana impak pemilihan barisan kepimpinan yang baru ini telah merubah pati perjuangan parti itu sendiri.

Segelintir orang di dalamnya tidak lagi membawa perjuangan yang dibawa oleh bapa dan datuk mereka tetapi telah diganti dengan perjuangan peribadi untuk mengaut keuntungan dan kemewahan.

Rasuah ataupun politik wang yang digembar-gemburkan semakin sampai ke kemuncak apabila pesalah-pesalahnya telah dapat di kesan dan lebih buruk antara pesalah yang dihukum merupakan ‘orang penting’ yang mentadbir sebuah negeri di negara kita.

Di kem PAS tidak kurang hebatnya. Bak kata blogger luar, puak Edrogan dan Puak Ulama’ makin hari makin tidak serasi walaupun di dada-dada akhbar terpampang akan keutuhan dan kesepaduan mereka.

Presidennya dibidas oleh ‘orang lama’ parti itu atas sebab mengeluarkan kenyataan yang tidak terkandung dalam muktamar mereka yang lepas.

Saya setuju yang kenyataan itu kerana ia tidak berniat politik disebabkan beliau sudah nampak akan kepincangan anak bangsanya dan demi mempertahankan maruah agamanya di negara kita ini.

Walau bagaimanapun seseorang perlu berpegang pada prinsip dan prinsip itu adalah hasil suara orang ramai dan kita tidak sepatutnya membelakangi orang bawahan kita, walau sebesar mana pangkat kita kerana tanpa mereka, siapalah pemimpin yang ada sekarang ini.

Anak bangsaku sebenarnya sangat hebat. Lihat sahaja empayar Melayu Melaka yang berkembang pesat dengan usaha dan berteraskan kebijaksanaan pemimpin mereka mampu menawan dari Utara hingga Selatan tanah Melayu.

Akan tetapi sayang, dengan kehadiran duri dalam daging yang menimbulkan perpecahan antara tentera, rakyat dan pemimpin, Alburqueque dan bala tenteranya senang menundukkan empayar terbesar di rantau Asia Tenggara ketika itu.

Tidak mustahil kejadian itu boleh berlaku. Bibit-bibit perpecahan sudah jelas diperlihatkan dan gunting dalam lipatan itu ada bertopengkan wajah politik yang disanjung untuk memberi harapan baru pada rakyat.

Saya selaku mahasiswa negara yang sayangkan tanah airnya menyeru agar rakyat Tanah Melayu kembali bersatu dan menjaga tanah warisan nenek moyang kita ini.

Jangan lagi kita berpecah, jika bumi bertuah ini mampu bercakap saya yakin ayat yang sentiasa dituturnya adalah BERSATU, BERSATU. Ya kita selaku tuan punya tanah ini perlu bersatu menentang musuh dan ancaman dari luar mahupun dalam negara ini.

Ayuh anak bangsaku, bangun dari lenamu. hilangkan rasa dengki dalam dirimu, buang jauh sifat tamakmu, kikis rasa malasmu kerana zaman ini bukan zaman kita bergoyang kaki dan menggeleng mahupun menggangguk kepala sahaja.

Sudah sampai masanya kita bangun dan bersatu. Jangan bergaduh lagi, dan jika rakan kita yang lain ketawa, kita perlu ketawa lebih kuat daripada mereka. Teguhkan iman, kuatkan jati diri dan Insyaalah Malaysia akan tetap menjadi tanah air suci yang kita semua cintai.

No comments:

Post a Comment