Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Saturday, 16 May 2009

Selamat Hari Guru Buat Seluruh Warga Pendidik

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan

Menongkah zaman moden dengan kecanggihan teknologi dan perkembangan IT masa kini, ilmu sudah merupakan suatu kewajipan untuk setiap insan memilikinya dan juga untuk diaplikasikan demi kebaikan diri dan masyarakat disekeliling kita.

Selain itu, ilmu juga penting untuk diterapkan kepada setiap orang agar kita dapat melahirkan mayarakat yang berpendidikan bagi membolehkan kita sama-sama memajukan negara menerusi bidang kepakaran kita masing-masing.

Oleh itu, kita tidak dapat menafikan bertapa pentingnya peranan guru kepada masyarakat dan bagaimana ia mampu memberikan impak tak kira positif mahupun negatif terhadap pembangunan negara menerusi pekerjaan harian mereka itu.

Perpaduan merupakan teras kepada keamanan dan kesejahteraan negara kita yang sememangnya memiliki keunikannya tersendiri kerana terdiri daripada rakyat yang berbilang etnik dan agama.

Perpaduan ini harus mula dipupuk sejak bangku sekolah lagi bagi memantapkan lagi ikatan silaturahim antara rakyat Malaysia seterusnya membina sebuah negara bangsa yang mampu menjadi contoh di mata dunia.

Nyata dan jelas peranan dan tanggungjawab guru zaman kini bukan sahaja untuk datang ke sekolah dan mengajar anak bangsa kita sahaja seperti yang kita sangkakan malah peranannya semakin meluas mengikut arus cabaran dunia moden zaman kini.

Pelajar zaman kini lebih banyak terdedah dengan dunia luar melalui internet dan media massa jelas mudah berkembang serta memiliki ‘kenakalan’ yang sedikit lebih berbanding pelajar zaman 90an dan 80an.

Masalah disiplin, keruntuhan moral dan akhlak serta keciciran dalam bidang akademik merupakan cabaran-cabaran getir yang perlu guru-guru zaman kini hadapi untuk memartabatkan semula institusi perguruan serta memulihkan kembali pelajar-pelajar kita agar dapat berada di landasan mereka yang sebenarnya.

Tekanan berterusan daripada ibu bapa juga tidak kurang hebat kerana pada waktu ini, ibu bapa sanggup berhabis wang dan berbuat apa sahaja demi membolehkan anak-anak mereka mendapat pangajian yang baik seterusnya menjadi pelajar yang cemerlang.

Bukan itu sahaja, dek kerana sayang dan manjakan anak-anak mereka, ibu bapa kini mendesak pihak sekolah agar memansuhkan hukuman-hukuman bagi memulihkan disiplin anak-anak mereka atas alasan ini merupakan penderaan terhadap anak mereka.

Jelas yang guru bukan sahaja tersepit untuk memberikan ilmu dan menjaga akhlak pelajar malah terpaksa mencari jalan alternetif bagi mencapai objektif ini dengan jalan yang mudah dan berkesan tanpa mengguris perasaan mana-mana pihak yang terlibat.

Semua cabaran ini jelas menunjukkan kepada kita yang sebenarnya tugas seorang guru cukup berat bagi seseorang dan tanpa azam dan semangat yang tinggi untuk menjadi pendidik maka sukar bagi seseorang guru untuk menempuh dugaan dan cabaran ini.

Oleh yang demikian, tarikh 16 Mei setiap tahun telah dipilih sebagai Hari Guru iaitu hari bagi kita sama-sama mengingati dan menghargai jasa guru-guru kita atas sumbangan dan bakti yang telah mereka curahkan selama ini.

Besesuaian dengan tema Hari Guru tahun ini iaitu ‘Guru Pembina Negara Bangsa’, peranan guru sudah dilebarkan bukan sahaja untuk memajukan negara dari segi sumbangan menyebarkan ilmu dikalangan masyarakat malah mengharmonikan kehidupan masyarakat berbilang bangsa dalam negara kita.

Logo Hari Guru 2009


Tahukah anda bahawa tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada tarikh yang sama dalam tahun 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita.

Dokumen tersebut yang dikenali sebagi Laporan Razak (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak tarikh itu dan diabadikan untuk pengetahuan kita bersama terutamanya dalam subjek Sejarah di alam persekolahan.

Menurut laman web rasmi Hari Guru kebangsaan, beberapa objektif hari Guru adalah;
-Menitikberatkan peranan guru dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan integrasi), pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat.

-Menarik perhatian ibubapa, murid dan orang ramai kepada peranan penting kaum guru dalam masyarakat Malaysia.
-Memupuk perasaan perpaduan ikhtisas dan muhibah di antara guru.
-Meninggikan martabat dan taraf guru dalam masyarakat.
-Memberi peluang untuk memajukan kecekapan guru melalui seminar-seminar, persidangan-persidangan, dan sebagainya yang diadakan pada Hari Guru.
-Menilai secara objektif peranan guru dengan berlatarbelakangkan Malaysia dan mengambil langkah-langkah supaya peranan itu lebih berkesan.

Dengan ini, saya dengan penuh rasa takzim ingin mengucapkan selamat Hari Guru pada semua tenaga pendidik disegenap lapisan masyarakat tidak kira di bidang mana anda sekalipun.

Semoga anda akan terus berusaha untuk mencapai aspirasi negara dan rakyat dengan memperjuangkan pendidikan anak bangsa kita dan menyemai rasa cintakan negara serta perpaduan pada para pelajar.

Semoga Allah merahmati pekerjaan dan tanggungjawab anda bagi memacu anak bangsa kita ke arah membentuk negara yang maju dan berpendidikan.

No comments:

Post a Comment