Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Monday 4 May 2009

Mesyuarat bincang isu agama anak tidak lama lagi

KUALA LUMPUR: Satu mesyuarat bagi mencari penyelesaian berhemah berhubung status agama anak apabila salah seorang ibu atau bapa memeluk agama Islam akan diadakan tidak lama lagi membabitkan beberapa kementerian dan jabatan agama.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom, berkata mesyuarat tertutup itu juga berkemungkinan disertai oleh beberapa pertubuhan agama tetapi ia belum dimuktamadkan lagi.
Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan menteri-menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Nazri Aziz yang bertanggungjawab mengenai perundangan dan Tan Sri Koh Tsu Koon yang bertanggungjawab mengenai isu perhubungan kaum bagi mendapatkan pandangan mereka mengenai mesyuarat itu.

Antara kementerian yang akan terbabit dalam mesyuarat itu termasuk Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, katanya selepas merasmikan seminar ‘Kepimpinan Integrasi: Isu dan Cabaran dalam Perkhidmatan Awam’ di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai pelbagai pendebatan mengenai keputusan Kabinet pada 22 April lalu di mana anak-anak di bawah umur kekal menganut agama asal ibu bapa masing-masing semasa berkahwin, walaupun ibu atau bapa mereka kemudiannya memeluk agama lain. Jamil Khir berkata, sehingga mesyuarat itu diadakan beliau tidak akan memberi sebarang ulasan berkaitan isu tersebut.

"Sehingga menunggu mesyuarat tersebut diadakan, akan ada kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan berkaitan yang akan mengambil tanggungjawab masing-masing untuk selesaikan isu itu," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment