Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Thursday, 21 May 2009

Menjelang Minggu Haluansiswa

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan

Lebih kurang sebulan daripada sekarang, Universiti Malaya akan menerima pelajar-pelajar baru tahun pertama apabila Minggu Haluansiswa (MHS) bakal membuka tirai pada 28 Jun 2009 akan datang.

Pada sesi kali ini, dikhabarkan kemasukan pelajar tahun pertama akan dikurangkan bagi membuka ruang kemasukan lebih ramai pelajar pasca-siswazah selaras visi universiti untuk menjadikan nisbah antara pelajar ijazah dan pasca ijazah kepada 50-50.

Sehubungan dengan itu, jumlah Pembantu Mahasiswa (PM) juga telah dikurangkan oleh pihak pentadbiran universiti dengan alasan untuk memudahkan dan melancarkan lagi perjalanan MHS akan datang.

Walaupun kami di Seketeriat Presiden Kolej-kolej Kediaman Universiti Malaya (SPKUM) cuba mencadangkan agar dipertimbangkan dan ditambah jumlah PM kolej kediaman, namun pihak pentadbiran hanya menambah 5 orang iaitu daripada 20 kepada 25 orang sahaja.

Kami di SPKUM amat memahami kesukaran ini kerana kami sendiri merupakan PM di kolej-kolej kediaman kami sebelum ini.

Walau bagaimanapun, saya yakin dengan jumlah yang kecil ini sebenarnya memberikan satu hikmah yang lebih baik kerana kita mampu merapatkan lagi hubungan sesama PM untuk lebih bersatu bagi menjaga adik-adik yang bakal hadir tak lama lagi.

Pelbagai rancangan telah diatur oleh pihak kolej dan pihak Hal Ehwal Pelajar & Alumni untuk memantapkan lagi sahsiah dan meningkatkan lagi ilmu kepimpinan dikalangan PM yang telah terpilih ini.

PM semua akan menghadiri sekurang-kurangnya 3 kem termasuk kem kolej kediaman masing-masing untuk mendedahkan bakal-bakal PM dengan situasi dan suasana MHS itu sendiri serta melengkapkan diri PM dengan ilmu yang sepatutnya bagi membolehkan mereka mengaturkan MHS ini agar menjadi yang terbaik bagi adik-adik mereka.

Selain menerima ilmu untuk diberikan pada adik-adik kita nanti, ini sebenarnya boleh digunakan untuk diri sendiri contohnya ilmu perubatan kecemasan mahupun ilmu pendaftaran subjek dan sebagainya.

Pada waktu begini, PM seharusnya duduk bersatu dan mencurahkan idea masing-masing untuk mencorak dan merancang setiap aktiviti untuk dijalankan sewaktu MHS agar memudahkan dan melancarkan perjalanan minggu tersebut tanpa resah.

Saya juga ingin menasihatkan PM sekalian untuk bersedia fizikal dan mental bagi menghadapi MHS ini kerana ini bukan satu minggu untuk bermain-main terutamanya bagi mereka yang pertama kali menjadi PM.

Banyakkan aktiviti lasak ketika perkampungan untuk membolehkan diri anda sebati dalam menerima tekanan bukan sahaja tekanan fizikal tetapi tekanan daripada psikologi juga.

Semasa MHS nanti, tidak dinafikan anda akan mengalami keletihan yang amat untuk mengisi masa dan menjalankan tugas anda sebagai pemudah cara bagi adik-adik ini mendaftar menjadi pelajar UM.

Oleh itu, anda perlu lebih bersedia dan melengkapkan diri anda dengan ilmu untuk menangani stres dan menyemai sifat setiakawan antara PM sendiri.

Elakkan diri anda daripada perasaan ingin marah kerana ini tidak dapat membantu anda malah boleh memecahbelahkan sesama kumpulan PM itu dan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam diri individu-individu yang tertentu.

Ketua PM seharusnya mengambil peranan untuk menyelesaikan masalah secepat mungkin dan menjadi tempat rujukan setiap PM jika ada sebarang kemusyiklan ataupun keraguan yang melanda.

PM juga perlu melengkapkan diri dengan keyakinan yang tinggi kerana di saat yang getir seperti MHS, anda mungkin terpaksa membuat keputusan yang sangat-sangat runcing tanpa mempunyai banyak masa untuk berfikir.

Untuk menjadi seorang PM bukan adalah satu tugasan yang mudah ataupun sekadar mencari populariti dikalangan adik-adik baru yang akan datang nanti.

Saya menyeru rakan-rakan bakal PM untuk menolak jauh rasa inginkan jawatan mahupun populariti sedemikian sejurus selepas tamat MHS bagi membolehkan anda betul-betul komited dan ikhlas menjalankan tugas bagi membimbing anak bangsa kita berjaya menjadi sebahagian daripada warga UM.

PM seharusnya menunjukkan akhlak dan disiplin yang baik agar menjadi idola adik-adik kita dan menggilap bakat kepimpinan anda masing-masing kerana MHS adalah minggu anda memimpin adik-adik anda dan membentuk mereka menjadi seorang penhuni kolej dan warga UM dan baik.

PM seharusnya cepat mesra dan mengambil hati adik-adik ini serta banyak menyalurkan informasi berkenaan kolej terutamanya bagi menarik minat mereka menyertai program serta projek-projek kolej yang akan dijalankan pada sesi hadapan.

Selain itu, PM juga bertanggungjawab menyemai rasa cintakan kolej untuk mereka lebih menghargai dan merasa bangga dengan kolej kediaman mereka dan berusaha bersama-sama senior mereka bagi memajukan kolej kediaman masing-masing setapak ke hadapan.

Akan tetapi, ini bukan pembuka jalan bagi kita memupuk semangat assabiyah ataupun semangat berkumpulan kerana kita semua perlu ingat, kita boleh sayang dan bangga dengan kolej kita tetapi kita tetap perlu bersatu demi meningkatkan martabat UM di peringkat antarabangsa.

PM juga perlu memantapkan diri masing-masing dengan ilmu berkenaan UM dan hal-hal semasa untuk memberi penerangan kepada adik-adik ini kerana mereka perlu dibimbing dan diberikan pendedahan berkenaan hal semasa disekeliling UM agar mereka tidak dipengaruhi anasir-anasir yang sememangnya ingin melihat akan kejatuhan kampus kita yang tercinta ini.

Salah satu elemen yang menyeronokkan mengenai MHS adalah ‘cheers’ yang seringkali menghangatkan suasana di tempat-tempat berkumpul semua freshie tak kira di DTC mahupun auditorium KPS.

Cheers yang sering disalah tafsirkan sebagai perbuatan lagha atau sia-sia dan menimbulkan semangat assabiyah ini adalah propaganda semata-mata dan merupakan lemparan tuduhan tak berasas kerana saya yakin mereka sebenarnya tidak memahami natijah kenapa ia diwujudkan.

Tidak penting sekiranya ada mahupun tidak pertandingan cheers ini akan tetapi cheers ini sebenarnya melambangkan kesatuan dan perpaduan junior dan PM bagi menunjukkan lambang kegagahan kolej kediaman masing-masing.

Tradisi ini yang telah dijalankan bertahun-tahun lamanya sebenarnya telah menjadi ikutan banyak universiti tempatan bagi mengisi masa minggu orientasi mereka dan ternyata ini mampu membuatkan freshie bukan sahaja terhibur malah menyerlahkan semangat cintakan kolej mereka masing-masing.

Banyak yang ingin saya coretkan mengenai minggu bersejarah ini tetapi mungkin cukup buat masa ini sebagai pembuka minda tentang apa itu sebenarnya MHS bagi frehie mahupun PM sekalian.

Ramai pemimpin-pemimpin yang baik tercungkil bakat mereka melalui proses menjadi PM dan bagi saya ini adalah satu projek ataupun program yang paling mencabar bagi saya untuk dijalani kerana pelbagi perit getir yang saya lalui untuk menghabiskan 1 minggu yang penuh dengan cabaran.

Dua tahun bersama ASTAR membimbing adik-adik baru benar-benar memberi seribu satu pengalaman yang sangat berharga dan tak mungkin saya perolehi di mana-mana tempat lain.

Tahun ini saya tidak berkesempatan menjadi PM akan tetapi kerana sayang dan cintakan program ini, saya mengambil keputusan menggadaikan cuti seminggu saya selepas tamat Latihan Industri semata-mata untuk bersama-sama PM ASTAR bagi membantu meringankan beban mereka untuk membimbing adik-adik yang bakal masuk nanti.

Kemungkinan ini MHS terakhir bagi saya dan saya mengharapkan ia dapat berjalan lancar dan saya mendoakan kepada semua PM terutamanya PM ASTAR agar berjaya menghadapi setiap rintangan dan cabaran mendatang dengan tenang dan rancang aktiviti sebaiknya untuk pengisian MHS kelak.

Jadikan MHS sebagai minggu yang paling bersejarah bukan sahaja pada diri adik-adik kita nanti malah kepada diri anda sendri dan jalankan tugas anda dengan penuh dedikasi, amanah serta ikhlas demi agama, bangsa dan negara.

UM is ONE!!!

1 comment:

  1. saya nak ucap terima ksaih kpd semua PM-PM yang dah bersusah payah melakukan tugas untuk minggu haluansiswa kami. walaupun saya dr kk3, tapi jasa semua pmpatut dihargai,
    terima kasih

    ReplyDelete