Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Monday 25 May 2009

Najib tegur Hindraf

PUCHONG: Kerajaan tidak menolak kemungkinan menahan semula pemimpin pertubuhan haram, Hindraf mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) jika mereka terus membuat kenyataan keterlaluan yang boleh menjejaskan keselamatan dan perpaduan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menegaskan semua pihak perlu faham had kebebasan bersuara dan jangan salahkan kerajaan apabila mereka dikenakan tindakan.

"Kita tengok perkembangannya nanti. Semua pihak perlu faham, ada had dalam apa yang boleh disuarakan... jangan lakukan sesuatu yang boleh menjejaskan keselamatan dan perpaduan.

"Apabila tindakan dibuat nanti, jangan pula kerajaan dipersalahkan," katanya pada sidang media selepas melancarkan Minggu Perpaduan peringkat Kebangsaan di sini, semalam.

Najib menegaskan demikian ketika ditanya sama ada pemimpin Hindraf yang dibebaskan daripada tahanan ISA baru-baru ini, akan ditahan semula kerana sering membuat kenyataan bersifat provokatif.

Sebaik dibebaskan dua minggu lalu, Penasihat Undang-undang Hindraf, P Uthayakumar dilaporkan berkata penahanannya sejak Disember 2007 tidak mengikut undang-undang dan tiada sebab beliau perlu berterima kasih kerana tidak melakukan kesalahan.

Uthayakumar juga tidak menghadiri perjumpaan dengan Lembaga Penasihat ISA seperti yang ditetapkan sebelum pembebasannya kerana mendakwa Artikel 5 Perlembagaan Persekutuan menetapkan setiap rakyat hidup bebas tanpa sebarang sekatan.

Seorang lagi pemimpin Hindraf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Alam Shah, M Manoharan pula menegaskan beliau tidak akan mematuhi syarat ditetapkan polis sebelum dibebaskan dari ISA.

Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy, yang kini tinggal di luar negara, turut mengugut kerajaan supaya menarik balik arahan mewajibkan abangnya, Uthayakumar menghadiri sesi perjumpaan dengan Lembaga Penasihat ISA atau sekali lagi berdepan dengan protes jalanan di seluruh negara.

Minggu lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang memandang serius ugutan itu memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap pemimpin Hindraf jika meneruskan hasrat itu.

Najib berkata, rakyat di semua peringkat seharusnya faham bahawa kerajaan ikhlas ketika membuat keputusan membebaskan tahanan ISA, termasuk pemimpin Hindraf terbabit.

"Kita tidak mahu dituduh sebagai kerajaan zalim, tetapi jika sudah dibebaskan dan mereka masih mengeluarkan kenyataan yang keterlaluan, bermakna saya serahkan kepada rakyat untuk menilai sikap mereka itu," katanya.

Perdana Menteri juga berharap masyarakat terutama komuniti India memahami dengan jelas bahawa sebarang tindakan yang diambil adalah berasaskan timbang rasa dan tanggungjawab kerajaan.

Malah, beliau berkata, kerajaan akan terus memastikan kepentingan semua kaum terpelihara dan perpaduan nasional tidak terjejas.

No comments:

Post a Comment