Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Monday, 25 May 2009

'Definisi berbeza punca pelajar meniru siapkan tugasan pensyarah'

KURANG kesedaran dan pengetahuan cetek mengenai takrif plagiat antara faktor dikenal pasti sebagai punca utama berlakunya perbuatan negatif itu di kalangan mahasiswa.

Perkara itu dikesan sekumpulan penyelidik Fakulti Bahasa dan Linguistik (FBL), Universiti Malaya (UM) hasil soal selidik dijalankan sempena Seminar Mengenai Plagiat disertai pelajar dan tenaga akademik semua fakulti universiti itu, pada 2006.

Timbalan Dekan (Ijazah Tinggi dan Penyelidikan), FBL, Prof Madya Dr Karen Kow Yip Cheng, yang mengetuai soal selidik itu berkata, permasalahan ketara ialah ketidakfahaman dan definisi berbeza di kalangan pelajar dan pensyarah mengenai perkara itu.

Katanya, majoriti pelajar didapati tidak mempunyai maklumat lengkap mengenai perbuatan atau tingkah laku yang dianggap sebagai plagiat.

“Senario ini membawa kita kepada perlunya usaha memupuk pemahaman pelajar mengenainya dan meningkatkan kesedaran bagi mengelak mereka melakukan kesalahan itu.

“Pelajar wajar diberi pendedahan tentang definisi sebenar plagiat dan kaedah penulisan akademik yang standard agar mereka sedar akan tingkah laku yang dikategorikan sebagai perbuatan itu.

“Di sinilah perlunya peranan dan tanggungjawab universiti khususnya pensyarah bagi mengatasinya,” katanya kepada Berita harian, baru-baru ini.

Selepas penelitian dua tahun terhadap dapatan itu, Karen menjelaskan, pendekatan susulan diambil UM ialah melihat keperluan mencari penyelesaian terbaik menanganinya, termasuk mengaplikasikan perisian atas talian dikenali Turnitin secara percubaan, tahun lalu.

Katanya, Turnitin cukup komprehensif dan efektif bagi mengesan sebarang unsur plagiat dalam penulisan akademik pelajar.

“Ia kini diaplikasikan kebanyakan universiti di seluruh dunia dan digunakan secara meluas bagi menangani isu plagiat dalam penulisan pelajar.
“Tahun ini, kita mula mengaplikasikan perisian ini sepenuhnya dengan menyediakan latihan secara berperingkat kepada semua pensyarah dan tenaga akademik mengenai kaedah penggunaan, sekali gus meningkatkan kefahaman mereka cara menanganinya,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan lain yang turut dilaksanakan ialah menerbitkan buku panduan mengenai plagiarisme yang kini dalam proses akhir dan dijangka diedarkan kepada pelajar serta pensyarah pada sesi akademik Julai depan.

Karen berkata, buku itu diterbitkan untuk tiga kumpulan sasar, iaitu pensyarah, pelajar siswazah dan pascasiswazah, antara lain memaparkan maklumat mengenai plagarisme serta kaitannya dengan ketulusan dan etika akademik universiti.

“Buku bertajuk Dealing With Cases of Plagiarism Amongst Students dikhususkan untuk pensyarah dan ia lebih memfokus maklumat mengenai arahan kerja, tatacara atau piawaian standard menangani plagiat di kalangan pelajar.

“Manakala bagi pelajar siswazah dan pascasiswazah pula, buku bertajuk Pengelakan daripada Plagiarism dan How To Avoid Plagiarism, sebagai panduan kaedah penulisan akademik yang baik tanpa unsur plagiat,” katanya.

Pada masa yang sama, katanya, pensyarah turut digalak memberi penerangan berkaitan plagiat seawal minggu pertama kepada pelajar masing-masing setiap kali sesi akademik bermula.

Berita Harian Online

No comments:

Post a Comment