Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Friday, 29 May 2009

Tragedi Pasaraya Jaya: 2 mati, 5 tertimbus bangunan runtuh

GAMBAR fail bangunan asal Jaya Supermarket. Anak panah menunjukkan kawasan runtuhan.

PETALING JAYA: Dua maut dan dua parah, manakala lima lagi masih tertimbus dalam runtuhan bangunan empat tingkat yang pernah menempatkan Jaya Supermarket di Seksyen 14 di sini, petang semalam.

Sebahagian besar struktur bangunan berusia lebih 30 tahun itu, yang hendak dirobohkan, dikatakan runtuh kira-kira jam 5 petang, dipercayai disebabkan keadaan tanah di sekitar kawasan berkenaan yang tidak kukuh.

Ketika kejadian, antara 20 hingga 30 buruh warga Indonesia menjalankan kerja merobohkan bangunan berkenaan untuk pembinaan semula.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata sembilan mangsa yang sedang bekerja di tingkat bawah, tidak sempat menyelamatkan diri lalu tertimbus dalam runtuhan itu.

Sehingga jam 11 malam tadi, empat mangsa dikeluarkan dari runtuhan itu termasuk dua terkorban manakala dua lagi parah dan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

"Struktur bangunan itu runtuh secara berperingkat bermula di tingkat paling atas disusuli tingkat di bawahnya," katanya di tempat kejadian.

BANGUNAN bekas Jaya Supermarket yang sedang dibaiki di Jalan Semangat, Seksyen 14, Petaling Jaya runtuh, semalam.

Mangsa pertama, yang parah dihempap konkrit, diselamatkan pada jam 5.40 petang manakala mangsa kedua, juga ditemui dalam keadaan parah, dikeluarkan 20 minit kemudian.

Seorang mangsa dikenali sebagai Maskor, 28, ditemui mati dihempap konkrit di tingkat satu bangunan itu pada jam 6.40 petang, manakala seorang lagi dikeluarkan jam 10.25 malam.

Pada jam 9.20 malam pula, seorang mangsa terperangkap menghubungi majikannya menggunakan telefon bimbit bagi meminta bantuan.

Arjunaidi berkata, pasukan mencari dan menyelamat menggunakan anjing pengesan untuk mengetahui kedudukan mangsa.


Seramai 155 anggota polis, bomba, Smart, Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) dan Rela terbabit dalam gerakan mencari dan menyelamat yang dimulakan sebaik kejadian dilaporkan pada jam 5.08 petang.

Terbaru:

Pasukan penyelamat sedang berusaha mengeluarkan mayat mangsa yang tertimbus dalam runtuhan bangunan bekas Pasaraya Jaya di SS14, di sini, pagi ini.

Mayat ketiga mangsa kejadian 4.50 petang semalam itu dikesan kira-kira jam 3 pagi tadi.

Difahamkan, pasukan penyelamat masih mencari empat lagi mangsa yang tertimbus.

No comments:

Post a Comment