PUTRAJAYA: Kabinet meluluskan penubuhan sekretariat tetap polis Asean (Aseanapol) di negara ini dalam usaha memantapkan kerjasama keselamatan di kalangan negara anggota untuk menangani kegiatan jenayah tanpa sempadan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata penubuhan sekretariat tetap itu di Malaysia dianggap pengiktirafan Asean yang membanggakan sekali gus membolehkan kerjasama lebih erat di kalangan polis negara anggota serta agensi keselamatan lain seperti penjara, imigresen dan pendaftaran identiti.
"Sekretariat tetap ini akan membabitkan kerjasama pihak keselamatan dan pihak berkuasa keselamatan di peringkat Asean sejajar dengan globalisasi sekarang ini yang mana kerjasama dengan negara jiran begitu penting," katanya selepas mesyuarat pasca Kabinet di kementeriannya semalam.
Katanya, polis Asean akan berfungsi seperti polis antarabangsa (Interpol) tetapi lebih menumpukan kepada keselamatan sesama negara Asean.
Bidang tugas khusus Aseanapol akan diumumkan Ketua Polis Negara selepas mengadakan perbincangan dengan rakan sejawat di negara lain kelak, katanya.
Malaysia dicadang sebagai lokasi sekretariat tetap Asenapol pada Persidangan Ketua Polis Asean ke-28 di Brunei Mei tahun lalu.
Serentak itu, Hishammuddin berkata, bahagian antarabangsa di Kementerian Dalam Negeri akan diwujudkan bagi menyelaras kerjasama dengan pihak keselamatan negara Asean bukan saja membabitkan polis, tetapi juga agensi keselamatan lain seperti penjara, Imigresen dan pendaftaran identiti.
Menjawab soalan, beliau berkata, peningkatan kerjasama keselamatan antara negara Asean amat penting pada masa ini terutama ketika berdepan jenayah penyeludupan manusia dan dadah.
Bagaimanapun, katanya kerjasama dalam konteks itu tidak membabitkan perjanjian ekstradisi sebaliknya usaha bersama untuk menangkap suspek.
No comments:
Post a Comment