Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Friday, 22 May 2009

Adakah Wajar Jumlah Subjek SPM dihadkan?

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan

Semalam, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyatakan yang Kementerian Pelajaran mungkin akan mengehadkan jumlah mata pelajaran yang boleh diduduki calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menurut beliau, keputusan cemerlang SPM yang tidak seragam seperti ada yang mendapat 14A, 15A dan kadang-kadang sehingga 19A boleh menimbulkan isu termasuk mengenai penawaran biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Persoalannya adakah ini wajar dilakukan kerana ianya seolah-olah menyekat kebebasan pelajar memilih dan mempelajari subjek tertentu untuk menambahkan lagi ilmu pengetahuan masing-masing.

Saya terpanggil untuk membicarakan beberapa faktor positif dan negatif berkenaan lontaran idea Menteri Pelajaran ini.

Pelajar seringkali merungut yang sistem pembelajaran yang diamalkan adalah lebih berorientasikan peperiksaan berbanding negara-negara maju yang lain dan oleh sebab itu, terdapat pelbagai jenis peperiksaan dalam negara kita dan antaranya adalah SPM.

SPM adalah satu peperiksaan penentu bagi pelajar untuk mengukur sejauh mana minat dan mendapatkan gambaran awal mengenai masa depan mereka untuk memilih jurusan atau bidang pengajian sebelum menjejakkan kaki ke institusi pengajian tinggi.

Kelonggaran yang diberikan oleh pihak sekolah kepada pelajar untuk memilih subjek adalah sangat baik kerana ini membolehkan pelajar sebenarnya menceburi pelbagai bidang tak kira di bidang agama, sains kejuruteraan mahupun biologi, perakaunan dan juga mungkin vokasional bagi mengcungkil bakat mereka.

Saya mengambil diri sendiri sebagai contoh kerana sebagai seorang pelajar kejuruteraan sekarang, ilmu biologi yang saya belajar ketika di bangku sekolah sebenarnya amat berguna dan banyak membantu saya dalm memahami kehidupan kita disekeliling ini.

Apa yang saya ingin sampaikan adalah, tidak rugi sebenarnya untuk mengambil pelbagai variasi subjek sewaktu SPM kerana sebagai pelajar sekolah mereka tidak punya banyak tugasan dan tanggungjawab selain belajar untuk mendapatkan kecemerlangan dalam akademik masing-masing.

Saya harap alasan ini tidak sepatutnya digunakan kerana kementerian mungkin akan menerima pelbagai tentangan kerana subjek yang diambil di tusyen sekalipun tetap ilmu dan ilmu adalah amat berguna di masa hadapan dan adalah hak mereka untuk mengambilnya dalam peperiksaan SPM ataupun tidak.

Mungkin sudah tiba masa kementerian untuk mengkaji cara menilai pelajar bukan kepada nilai gred semata-mata tetapi secara purata kerana pada pendapat saya, ini sebenarnya mampu menyelesaikan masalah pengagihan biasaswa kerajaan seperti yang disebutkan.

Antara cadangan semasa Dato’ Seri Hishamuddin memimpin Kementerian Pelajaran adalah untuk menyelaraskan keputusan peperiksaan awam dengan menggunakan sistem PNGK.

Pada pendapat saya, ini mampu menyelesaikan masalah tersebut kerana sebanyak mana subjek yang diambil, ia tetap mengira purata dan ini akan menjadi adil untuk setiap pelajar yang mengambil jumlah subjek yang berlainan.

Walau bagaimanapun, tetap ada implikasi yang kurang baik pada pelajar itu sendiri apabila terlalu banyak mengambil banyak subjek untuk peperiksaan SPM.

Kita memerlukan pelajar yang serba boleh dan bukan berorientasikan pelajaran semata-mata kerana nilai seorang pekerja di majikan bukan sahaja terletak pada slip keputusan peperiksaan tetapi juga nilai tambah yang ada pada seseorang itu.

Kebanyakkan pelajar yang terlalu mengejar kecemerlangan akademik banyak mencicirkan pelbagai peluang untuk mengembangkan potensi diri tidak kira di bahagian suka, seni, kepimpinan dan lain-lain lagi.

Mereka lebih suka menelaah buku kerana bagi mereka ini sahaja dapat membantu mereka mencapai masa depan yang cerah pada suatu hari kelak.

Tidak dinafikan sistem pelajaran kita yang mencorakkan pelajar ini ke arah sedemikian, tetapi sebenarnya sebagai seorang pelajar yang berumur 16 hingga 17 tahun sesungguhnya sudah mampu berfikir secara rasional dan mencorakkan cara kehidupan mereka.

Bagi saya, sokongan dan panduan ibu bapa dan guru adalah terbaik pada peringkat ini untuk mengelakkan sebarang konflik dalaman yang bermain dalam minda pelajar akibat tersepit dalam dunia akademik dan peningkatan sahsiah diri.

Pelajar yang baik perlu menyediakan diri dengan ilmu yang secukupnya bukan sahaja dari segi akademik malah ilmu seperti berkomunikasi, kepimpinan dan sifat kerohanian yang baik jika negara mahu membina masyarakat yang berjaya dan maju.

Dengan ini, saya mengharapkan kerajaan khususnya pihak kementerian menilai dan mengkaji semula sistem pembelajaran di Malaysia secara menyeluruh sebelum pergi ke cadangan menghadkan jumlah subjek dalam peperiksaan SPM.

Saya mengharapkan Malaysia dapat terus maju di masa depan dengan memperkukuhkan lagi institusi pelajaran negara setanding dengan negara membangun yang lain bagi memastikan Malaysia sentiasa melahirkan pelajar yang mempunyai tahap modal insan yang tinggi dan juga cemerlang dalam akademik agar kita sama-sama memakmurkan negara kita yang tercinta ini.

1 comment:

  1. aku stuju yg sistem PNGK di peringkat sekolah..tak de lah pelajar akan jadi malas...

    ReplyDelete