Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Thursday 26 March 2009

Bila Kuasa dan Nafsu Menguasai Jiwa

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan

Makin lama makin sempit masa yang aku punyai untuk hasilkan coretan atau luahan hati ini akibat tanggungjawab yang tidak putus-putus hadir.

Akan tetapi inginku kongsikan bersama pemikiranku bersama-sama anda berkenaan topik kini.

Manusia zaman ini sering dikaburi dengan pelbagai helah dan permainan oleh syaitan dan Iblis untuk terus menyesatkan umat Islam seperti yang dilafazkannya sewaktu dihumban ke neraka Jahanam.

Dua elemen ini merupakan perkara pokok dan punca utama tumbangnya peribadi seseorang yang sebelum ini disanjung orang ramai.

Seseorang yang mempunyai kuasa atau pun hak untuk membuat keputusan seharusnya menggunakan kuasa yang dimilikinya bagi kebaikkan semua orang dan bukan bersifat individu.

Manusia zaman sekarang tidak lari dari arus pengejaran kuasa baik di kalangan ahli politik mahupun mahasiswa kampus ini sendiri, masing-masing mahukan hak bersuara dan hak membuat keputusan.

Akan tetapi, adakah suara kita dan keputusan yang kita selaku pemimpin ini buat benar-benar suara dan keputusan rakan-rakan seperjuangan kita yang lain.

Ada pula dikalangan pemimpin yang sudah mabuk melayari kapal kemewahan hingga melupakan jasa-jasa rakan disekeliling mereka.

Tidak dinafikan, ada juga yang sentiasa ingat tetapi adakah ini benar-benar ikhlas atau mempunyai niat mendapatkan komisen bila tender sudah diluluskan untuk rakan-rakannya itu?

Nafsu pula memainkan peranan setelah seseorang itu kian ghairah memegang kuasa dengan membuatkan dirinya sentiasa tidak merasa cukup dengan apa yang dia ada sekarang.

Mulalah adengan rasuah, surat layang, fitnah dan sebagainya mula berkembang hingga menampakkan seseorang itu keji dan bermasalah.

Akan tetapi kesan itu bukan sahaj dirasai oleh individu tersebut akan tetapi yang mendapat balasan adalah kumpulan yang mendokong individu tersebut dan sekaligus mendapat gelaran korup dan semakin jauh dari kepercayaan rakyat.

Pemimpin terutamanya anak bangsaku harus sedar dan kembali ke pangkal jalan kerana jalan pintas yang sering diambil selama ini nyata sedang memakan diri mereka sendiri bagai anai-anai memamah papan-papan kayu.

Prinsip adap dan pegangan Islam itu perlu diutamakan dalam setiap proses membabitkan kuasa yang diperoleh setiap individu.

Seseorang yang dilantik sebagai pemimpin tidak sepatutnya bangga dengan kedudukannya malah sepatutnya dia patut lebih risau akan dirinya kerana dia akan disoal di Padang Mahsyar akan setiap perbuatannya selama memegang tampuk pemerintahan.

Saya menyeru sempena peralihan kuasa kerajaan Malaysia pada akhir minggu ini, pemimpin perlu mengutamakan suara dan kepentingan rakyat, bukan lagi memikirkan kepentingan diri serta masyarakat di sekeliling beliau sahaja.

Akhir kata, saya mendoakan yang terbaik dan mengucapkan tahniah kepada bakal Perdana Menteri Malaysia ke-6, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak. Semoga beliau menjadi pemimpin yang adil, tegas, bijaksana dan lebih mendampingi rakyat untuk kesejahteraan Malaysia.

1 comment:

  1. kuasa dan nafsu...
    isu ni tak pernah putus2 sejak zaman Nabi Adam lagi...

    ReplyDelete