Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Monday, 6 April 2009

Air

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan

Antara kurniaan terbesar yang dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada hambaNya di muka bumi adalah air.

Air secara saintifik terhasil dengan cantuman 2 atom Hidrogen bersama dengan 1 atom oksigen merupakan sesuatu yang amat unik dan tiada persamaan atau benda lain yang dapat menggantikan air di muka bumi ini.

Kitaran dunia yang adil dan saksama membolehkan air daripada laut, sungai dan tasik diolah naik ke awan dan di bawa ke tempat yang telah ditetapkanNya lalu air itu turun sebagai hujan.

Air ini sangat berguna pada kita tetapi jangan dipandang rendah akan kebolehan air kerana beberapa sejarah telah menunjukkan dengan air sahaja, harta mahupun nyawa boleh lesap dengan sekali lalu sahaja.

Air takkan terputus walau dicincang mahupun ditahan kerana ia telah dijadikan dengan sifat yang mengalir tanpa mengenal erti kesukaran ataupun cabaran yang menimpanya.

Air juga antara objek yang boleh secara normal kita dapat lihat perubahannya samada ia menjadi wap tak berbentuk bila sampai ke tahap didihnya ataupun menjadi ketulan ais yang sangat keras di takat bekunya.

Air juga mudah dibentuk mengikut bekasnya kerana susun atur molekulnya membolehkan ia bergerak bebas mengikut acuan yang ditetapkan untuknya.

Sesungguhnya air ini sangat penting dalam kehidupan kita dan meliputi peratusan yang besar di muka bumi ini malah dalam badan kita sendiri mengandungi jumlah cecair yang sangat banyak.

Apa salahnya kita mencontohi resmi air dalah kehidupan kita yang semakin hari semakin mencabar ini.

Kitaran kita jua bagai air, dari kecil kita diasuh, dibelai dan dimanja lalu kita dibawa ke sekolah untuk dibekalkan dengan ilmu supaya satu hari nanti kita mampu pergi ke tempat-tempat lain untuk memberi nikmat pada orang lain dengan ilmu yang kita ada.

Hidup kita mesti tenang seperti air yang tenang menyusuri pantai tetapi jangan kita biar orang ambil kesempatan atas ketenangan kita dan buktikan dengan ketenangan kita sebenarnya adalah satu senjata yang boleh meruntuhkan mana-mana pihak yang cuba mencabar kita.

Jaga baik-baik perpaduan sesama kita seperti air yang tetap mencari sambungannya walaupun dihalang dan ini menampakkan aliran itu sangat kuat. Dengan perpaduan, kita sebenarnya mampu menggoncang dunia dan memberi impak yang sangat mendalam kepada dunia yang memerhari kita.

Kita perlu mudah menyesuaikan diri di tempat-tempat lain selain tempat asal kita kerana tidak selamanya kita mampu bersenang lenang di laman sendiri malah kehidupan ini menuntut kita agar mengembara jauh untuk mencari ilmu dan pengalaman hidup dan dengan itu, kita perlu mudah bergaul dan memahami budaya sesuatu kaum di tempat tersebut.

Jadi orang yang berguna dan diperlukan oleh orang ramai kerana tidak guna kita berilmu tetapi tidak beramal dan membawa kebaikan kepada orang ramai dan sudah jatuh ke hukuman berdosa sekiranya ia terjadi.

Air di laut juga ada pasang surutnya bergantung pada kedudukan bumi dan bulan menurut sains.

Tidak ketinggalan kehidupan kita seharian yang banyak dugaan dan cabaran bergantung dengan faktor-faktor persekitaran kita kerana kita hidup tidak boleh bergantung dengan diri kita sahaja akan tetapi kita memerlukan ramai orang untuk membantu malah ada juga untuk menjatuhkan kita.

Muhasabah diri kita bersama-sama ciptaan Ilahi untuk kita tambahkan iman kita serta kasih dan sayang kita pada Yang Maha Esa.

Tanpa nikmat yang diberikanNya, nescaya kita tidak mampu hidup dan berjaya hingga ke saat ini.

Sesungguhnya Allah tidak akan ubah nasib sesebuah kaum itu jika mereka tidak ubah nasib mereka sendiri dan ingatlah rakan-rakan, kehidupan kita masih belum sempurna dan mungkin jua tidak akan sempurna.

Justeru itu, mari kita menyusuri kehidupan kita yang penuh panca roba bagi mencari damai di penghujungnya bak air yang bergerak laju kembali tenang bila sampai ke muara sebelum memasuki dunia lautan yang sangat luas itu.

No comments:

Post a Comment