Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Monday 13 April 2009

Mansuh MeCD tak jejas usahawan Bumiputera

KUALA LUMPUR: Pemansuhan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD) tidak akan menjejaskan nasib usahawan Bumiputera di negara ini sebaliknya mereka akan terus dibela, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Katanya, usahawan Bumiputera tidak perlu bimbang mengenai nasib mereka kerana kerajaan akan terus memberikan bantuan menerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (Tekun) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang kini diserapkan di bawah kementerian itu.
"Pemansuhan MeCD tidak bermakna orang Melayu dan kaum Bumiputera di negara ini terabai sebaliknya agensi yang ada di bawah kementerian itu diserapkan ke beberapa kementerian lain seperti kementerian yang diterajui saya dan juga Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
"Langkah itu dilihat akan lebih memudahkan kerajaan memfokuskan kepada kumpulan sasaran yang lebih khusus terutama dalam konteks pemberian bantuan dan khidmat nasihat.
Bagaimanapun, saya percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai sebab tertentu apabila membuat keputusan untuk memansuhkan MeCD.
"Saya juga yakin bahawa dua agensi yang diserap ke kementerian ini akan dapat membantu meningkatkan prestasi usahawan baru terutama di luar bandar kerana menerusi Mara, masyarakat miskin, belia dan pelajar dari luar bandar akan dibantu untuk menjadi usahawan dan mendapat pekerjaan yang lebih baik," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bahawa pemansuhan MeCD dibimbangi akan menimbulkan rasa terkilan di kalangan orang Melayu kerana tiada lagi kementerian khusus yang boleh dijadikan tempat mendapatkan bantuan, tunjuk ajar dan khidmat nasihat.

Sebelum ini, Tekun dan Mara adalah agensi di bawah MeCD yang pernah diterajui Datuk Noh Omar, bagaimanapun MeCD dimansuhkan ekoran penyusunan semula Kabinet, Khamis lalu. Shafie berkata, walaupun masih terlalu awal untuk membuat perancangan, kementerian yang diterajui beliau akan memastikan masyarakat luar bandar khususnya Bumiputera mendapat tempat seperti diharapkan oleh kerajaan.
"Dua agensi yang baru diserapkan itu juga boleh membantu memantapkan lagi ekonomi penduduk di luar bandar, malah memberi peluang melahirkan lebih ramai golongan Bumiputera luar bandar menceburi bidang perniagaan," katanya.

No comments:

Post a Comment