Semalam, Universiti Malaya berbesar hati menerima kunjungan mesra Dato Saifuddin bin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi 1 yang baru dilantik baru-baru ini.
Kehadiran beliau ke Kolej Kediaman Ke-12, lebih kurang jam 9 malam disambut oleh TNC HEPA, Dato Azarae, Pengetua Kolej 12 dan Pengetua Penghuni Luar, barisan penyelia dan pembantu penyelia kolej 12 serta beberapa kepimpinan pelajar.
Sebelum duduk semeja bagi berbicara dengan para hadirin, Dato’ Saifuddin melawat terlebih dahulu CafĂ© Kolej 12 untuk berjumpa penghuni-penghuni kolej tersebut yang nampak sibuk mengulang kaji bagi menghadapi minggu peperiksaan ini.
Beliau yang nampak mesra melayan para mahasiswa beramah mesra untuk lebih mengenali alam universiti ini kembali setelah lama beliau meninggalkan UM ini.
Beliau mengambil masa 15 minit untuk beramah mesra bersama penghuni-penghuni sebelum menuju ke bilik mesyuarat bagi berbincang dan mendengar amanat beliau timbalan menteri yang baru.
Dato' Saifuddin (tengah) diapit oleh Presiden Kolej, Sdra. Hafiz(kiri) dan Pengetua Kolej 12, Prof. Mohd Saha(kanan).
Pengetua Kolej 12, Prof. Mohd Saha memulakan bicara dengan pengenalan terhadap kolej 12 secara khususnya dan UM secara umumnya kepada Dato Saifuddin bagi memberi sedikit gambaran tentang cara dan kehidupan mahasiswa kolej-kolej kediaman.
Sejurus selepas itu, Dato’ Saifuddin memulakan ucapan beliau dengan menyampaikan beberapa idea bernas dan cadangan-cadangan yang masih dalam pemantauan beliau dan memerlukan bantuan kakitangan akademik dan kakitangan pentadbiran untuk bersama-sama beliau memajukan lagi institusi pengajian tinggi ini.
Menurut beliau, UM merupakan universiti yang keempat beliau lawati untuk berjumpa bersama pentadbir dan penghuni setelah beliau dilantik pada 13 April yang lalu dan beliau masih meneruskan untuk menemui pelajar daripada universiti yang lain untuk tempoh sebulan pertama beliau menjawat jawatan ini.
Dengan lawatan ini, beliau sebenarnya sedang menjalankan ‘3M’ iaitu Menyelami Minda Muda kerana katanya beliau sudah lama meninggalkan dunia universiti dan memerlukan input dan merasa kehidupan di kampus untuk lebih memahami jiwa dan hati mahasiswa.
Beliau yang menyatakan setelah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang dipinda baru-baru ini, mahasiswa sebenarnya mempunyai ruang yang lebih terbuka dan lebih bebas berbanding sebelum ini kerana masih ramai yang mengatakan perubahan AUKU ini sebenarnya hanya berupakan perubahan kosmetik.
Antara yang hadir ke Majlis Ramah Mesra bersama Dato' Saifuddin
Beliau juga yakin dengan pindaan terhadap AUKU ini dapat memberi lebih ruang kepada mahasiswa mengembangkan bakat dan menyuarakan pendapat mereka dengan lebih intelek dan bersesuaian dengan keadaan semasa.
Beliau juga menyatakan menteri mahupun timbalan menteri sekarang tidak boleh menganggap mereka sudah tahu semuanya dan melayan remaja ataupun mahasiswa ini seperti budak sekolah malah pemimpin mahasiswa sebenarnya perlu diiktiraf tahap kepimpinannya sejajar dengan pemimpin nasional yang lain.
Mahasiswa zaman sekaran mempunyai 3 tuntutan iaitu mahasiswa mahu suaranya didengar, mahasiswa mahu peranan mereka diiktiraf dan mahasiswa mahu isu yang berkenaan dengan alam universiti ini ditangani lebih efisen dan teratur.
Oleh itu, beliau menyatakan pentas Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) merupakan pentas terbaik terutamanya bagi mahasiswa melalui pemimpin mereka menyatakan suara dan keperluan mereka bagi meningkatkan mutu dan kondisi mahasiswa di kampus mereka masing-masing.
Kementerian juga perlu bersikap lebih terbuka bagi mendengar suaran dan perlu lebih banyak memberi pengiktirafan bukan sahaja pada pelajar malah kepada staf pentadbiran kolej mahupun akademik.
Diakhir bicara beliau, beliau juga mempunyai visi untuk memperkuatkan sahsiah dan modal insan mahasiswa ini dengan memperkuatkan bidang kokurikulum dan bidang keusahawanan di semua varsiti bagi membolehkan universiti tidak sahaja melahirkan pelajar yang hebat di bidang akademik tetapi menyerlah di dalam bidang sosial dan sukan.
Pada pendapat saya, ini adalah permulaan yang baik untuk Dato Saifuddin selaku timbalan menteri yang turun padang sendiri ke kampus-kampus untuk mendapatkan maklumat bukan melalui pegawai khasnya sahaja.
Tindakan dan aktiviti ini perlu dijalankan dengan kerap agar jurang antara kementerian dan mahasiswa tidak jauh beza dan membolehkan mahasiswa lebih mudah berinteraksi dengan Kementerian Pengajian Tinggi.
Semoga kunjungan mesra ini dapat dijalankan lebih kerap terutamanya daripada Menteri Pengajian Tinggi sendiri, Dato Seri Mohamed Khaled Nordin sejajar dengan saranan Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Najib Razak agar pemimpin kerajaan lebih kerap turun padang bagi mengetahui masalah rakyat kerana ini bagi menjamin kepentingan setiap pihak terbela dan terjaga.
No comments:
Post a Comment