Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Ilahi atas limpah kurnia dan nikmatNya yang membolehkan kita terus bernafas bagi menyambung kehidupan kita untuk terus mengabdikan diri padaNya. Sesungguhnya tanpa izinNya kita tidak berupaya terus hidup sehingga ke saat ini.
Tidak lama lagi warga Astar akan menjalani peperiksaan akhir semester yang juga peperiksaan terahir bagi sesi 2008/2009 ini. Bagi sesetengah orang, ini mungkin pepriksaan terakhirnya selama belajar di Universiti Malaya (UM) ini.
Peperiksaan dan pelajar tidak boleh dipisahkan lagi. Bila sampai pada musim peperiksaan, kita dapat lihat perpustakaan dipenuhi pelajar dan bilik-bilik belajar di kolej-kolej kediaman menjadi tumpuan para pelajar tidak kira waktu.
Ini merupakan suatu yang baik dapat kita lihat kerana agama Islam sendiri menuntut agar umatnya memperkasakan diri dengan ilmu yang secukupnya. Akan tetapi cara ini masih kurang efektif bagi pendapat saya.
Sebagai mahasiswa yang intelek, kita patut mengulangkaji pelajaran bukan pada musim peperiksaan sahaja tetapi ia patut bermula seawal permulaan semester lagi.
Dengan berbuat demikian ia dapat mengelakkan kita daripada keadaan tertekan dan membolehkan kita lebih mudah menghafal atau memahami mata pelajaran tersebut dalam masa yang lebih singkat.
Bagi sesetengah pihak, mereka mempersoalkan sistem pembelajaran di Malaysia yang berteraskan peperiksaan berbanding beberapa negara maju di Barat. Bagi saya, usah kita terlalu agungkan budaya barat ataupun mana-mana negara lain. Kita perlu percaya yang negara kita membuat sistem ini berdasarkan sebab yang kukuh dan terbaik untuk masa kini.
Walau bagaimanapun, para pelajar perlu elak situasi belajar hanya untuk peperiksaan kerana ini langsung tidak membawa faedah pada diri anda malah akan merugikan masa dan tenaga anda. Anda perlu perbetulkan niat anda dan belajar dengan ikhlas bagi kita menjadi orang yang berguna pada masyarakat suatu hari kelak.
Selain perpustakaan dan bilik bacaan, surau juga menjadi tumpuan pada musim-musim peperiksaan ini. Pada masa ini dapat kita lihat pelajar turun beribadah lebih ramai daripada biasa. Selain itu, ia juga dijadikan tempat belajar kerana ada orang tertentu yang tenang dan mudah menerima ilmu bila belajar di dalam surau.
Ini bukan satu kesalahan tetapi ia sepatutnya diamalkan lebih awal dan secara berterusan ataupun istiqamah.
Tulus ikhlas dari benak hati saya, saya amat berbangga dengan warga ASTAR. Walaupun dihuni oleh pelajar daripada fakulti-fakulti yang mencabar seperti Pergigian, Kejuruteraan, Undang-undang, Perubatan dan sebagainya, anda masih mampu terus menyumbangkan bakti pada kolej ini.
Kolej Kediaman Pertama adalah antara kolej yang paling banyak menjalankan aktiviti dengan keseluruhan sebanyak 20 projek telah dianjurkan di bawah JTK dan JKP tersendiri.
Tanpa anda sebagai tenaga penggerak projek-projek ini, maka tiadalah gunanya kita adakan projek dan aktiviti yang sebanyak itu. Di kolej ini, kami cuba melatih anda bukan sahaja menjadi pelajar yang baik malah seorang manusia yang cekap berorganisasi di samping itu boleh mengadaptasi pelbagai situasi kerja bersama-sama rakan-rakan lain dengan kata lain berkerja dalam kumpulan.
Tak kenal maka tak cinta, mungkin peribahasa ini sesuai dengan pelajar tahun 1 yang buat pertama kali menjejak kaki ke UM dan ditempatkan di ASTAR ini. Setelah anda mengharungi 1 sesi bersama kami, saya harap anda lebih memahami konsep pembelajaran dalam UM dan jangan samakan ia dengan kolej-kolej matrikulasi mahupun sekolah-sekolah anda.
Anda datang ke UM membawa 1 objektif tak lain tak bukan, untuk menjadi pelajar yang cemerlang dan berguna pada negara, bangsa dan agama.
Justeru itu, mari kita sama-sama memartabatkan pendidikan dan pembelajaran kita. Jangan kita hanya hadkan kepada subjek di kuliah sahaja tetapi saya menyarankan anda lebih terlibat dalam aktiviti kolej agar anda boleh mengembangkan potensi dan belajar lebih mendalam ilmu kepimpinan dan berorganisasi.
Saya amat berharap akan bertemu anda semua semula pada sesi akan datang. Once an ASTARIAN, always an ASTARIAN. Walaupun kita tidak ditakdirkan lagi duduk sebumbung, kenangan di ASTAR ini saya harap menjadi kenangan terbaik bagi hidup kita di universiti ini.
Akhir kata, saya mewakili seluruh kepimpinan JIK, JTK dan JKP ingin memohon jutaan ampun dan maaf jika ada kecacatan dalam organisasi kami sepanjang sesi ini. Sesungguhnya kami sudah berusaha sedaya upaya bagi membela kebajikan dan menjulang nama baik ASTAR. Moga kepimpinan JTK akan datang akan terus berusaha memperbaiki segala kelemahan sebelumnya bagi menjadi pemimpin yang baik dan aspirasi ikutan remaja zaman kini. Selamat maju jaya dalam menghadapi Peperiksaan Akhir Semester 2 bagi sesi 2008/2009. Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah, Assalamualaikum W.B.T..
Muhammad Hafizzuddin Bin Baharin
Presiden
Jawatankuasa Tindakan Kolej
Kolej Kediaman Pertama
Universiti Malaya
No comments:
Post a Comment