Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Sunday, 19 April 2009

Peperiksaan : Bermulanya Suatu Perjuangan

Assalamualaikum Dan Salam Perpaduan

Berakhir sudah minggu yang menggetirkan iaitu minggu ulangkaji atau lebih dikenali dengan ’study week’ di kalangan pelajar bermula hari ini.

Esok bermula satu episod perjuangan baru oleh rakan-rakan, para pelajar universiti di hampir seluruh IPTA terutamanya di Universiti Malaya apabila dengan rasminya minggu Peperiksaan dimulakan.

Ini adalah medan kita menguji kefahaman yang kita perolehi di dalam bilik serta dewan kuliah selama 1 semester ini agar dapat dinilai prestasi kita dari semasa ke semasa.

Waktu ini, dapat kita lihat pelbagai ragam dan gelagat pelajar dalam saat-saat terakhir menghafal dan memahami segala jenis nota yang mereka ada sepanjang semester pembelajaran ini.

Rata-rata takut dan gerun terutamanya bila suda berada di pintu Bangunan Peperiksaan yang bukan sahaja sejuk membeku malah ’aura’ ataupun tekanan makin memuncak di kala itu bagi setiap pelajar.

Akan tetapi, kita yang sentiasa memandang berat akan pepriksaan duniawi ini semakin lama semakin lupa yang kita sebenarnya masih mempunyai satu peperiksaan besar sama ada kita sedar mahupun tidak.

Tidak lain tidak bukan ianya peperiksaan kita dengan Allah S.W.T yang mana kita sering kali diuji tetapi kita kadang kala leka dan lalai dalam mengambil berat akan ujian Allah ini dan akhirnya kita kecundang disisi Allah walaupun kita seorang yang berjaya di mata manusia.

Dikala peperiksaan menjelang ini, jangan dilupa solat 5 waktu walau sesibuk mana kita. Jangan dilupa zikir serta puji-pujian ke atas Allah walau sebanyak mana nota yang perlu dihafal dan jang dilupa dakwah Islamiah yang perlu kita jalankan walau sebanyak mana tugasan yang perlu kita siapkan.

Allah akan menghitung dan memberi ’gred’ pada kita kelak di Padang Mahsyar, adakah kita rela menerima gumpalan api ataupun kita mahukan nikmat syurga selama-lamanya? Persoalan ini hanya boleh dijawab dengan bekalan amal dan iman yang kita bawa selama ini.

Saya ingin berpesan pada diri saya dan rakan-rakan saya, teruskan berjuang demi cita-cita anda dan berusaha sehabis boleh bagi mencapai gred 4.00 yang diidam-idamkan oleh mana-mana mahasiswa sekalipun akan tetapi jangan dilupakan pada Ilahi kerana apa sahaja usaha yang kita buat, hanya Allah yang menentukan.

Saya yakin anda semua sudah berusaha bersungguh-sungguh dan hanya menunggu masa menghadapi peperangan dalam dewan peperiksaan itu.

Oleh itu kita harus memahami konsep bertawakal pada Ilahi setelah kita berusaha dan jangan kita toleh ke belakang semula kerana ini mungkin akan mematahkan semangat anda untuk peperiksaan seterusnya.

Oleh itu, tabahkan hati anda untuk menjalani peperiksaan mendatang dan sentiasa kita mengingati Allah kerana hanya Dia yang mampu menolong kita disaat tiada siapa boleh. Jangan disalah tafsir, akan tetapi kita bukan sahaja perlu ingat pada Allah dikala peperiksaan tetapi kita seharusnya secara konsisten mengingati dan beriman pada Allah.

Tanamkan keyakinan dalam diri dan pastikan anda menggengam kejayaan disaat mendapat slip keputusan peperiksaan nanti.

Akhir kata, saya mendoakan kejayaan anda semua dalam peperiksaan yang bakal menjelang esok. Semoga anda tenang dan mudah menghafal serta memahami nota-nota sebagai senjata untuk anda menongkah arus dan akhirnya berjaya dalam peperangan sempena peperiksaan yang bermula esok.

No comments:

Post a Comment