Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Tuesday 31 March 2009

Golongan Pendidik Tak Patut Terlibat Politik

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan

Terpanggil saya untuk membicarakan salah satu usul yang telah dilontarkan oleh Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein semasa ucapannya penggulungan beliau pada Perhimpunan Agung Umno yang lalu di mana beliau meminta agar kerajaan membenarkan guru Kelas A supaya terlibat secara terus dengan politik.

Ini satu cadangan yang tidak bernas kerana ia boleh membawa kepada keburukkan yang lebih berbanding kebaikkan yang diharapkan oleh mereka.

Guru merupakan tunjang alam persekolahan sepatutnya berada pada sifat neutral terutamanya dalam sistem pengajaran walaupun natijahnya kita tahu selaku orang dewasa mereka sudah mempunyai ideologi masing-masing.

Akan tetapi dengan memberi mereka kebenaran sebegini, ia boleh menimbulkan lebih banyak kekeliruan terutamanya pada kanak-kanak sekolah yang masih tidak tahu keadaan politik luar ini.

Menurut Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, guru juga tidak sepatutnya mendapat keutamaan sedemikian kerana pegawai kerajaan dari kumpulan lain juga pasti akan menuntut hak yang sama.

Kita tidak seharusnya melanggar prinsip utama sistem pembelajaran semata-mata bagi memperkuatkan parti atau kumpulan yang tertentu.

Pendidikan adalah eset yang paling bernilai bagi menjana modal insan yang cemerlang dan sekolah merupakan tempat kita memupuk dan melatih pelajar-pelajar agar menjadi orang yang bijaksana supa dapat memimpin negara dengan baik satu masa kelak.

Selain golongan pendidik, pelajar juga tidak seharusnya taksub dengan suasana politik luar yang sekarang ini semakin lama semakin kecoh.

Tidak salah mahasiswa berpolitik di dalam kampus untuk membuktikan mereka lebih baik dalam aspek menjaga kebajikan dan menonjol dalam bakat kepimpinan masing-masing.

Akan tetapi saya sangat tidak setuju dan menyelar mana-mana pihak mahupun kumpulan mahasiswa yang turun ke medan politik terutamanya di tempat-tempat pilihan raya bagi menyokong mahupun meraih undi bagi mana-mana parti yang bertanding.

Ini bukan sahaja sudah melanggar undang-undang AUKU malah ini telah melanggar prinsip mahasiswa itu sendiri dan kumpulan mahasiswa ini nyata bukan pejuang mahasiswa yang diharapkan selama ini.

Keterlibatan mereka secara langsung memberi sedikit sebanyak idea pada mahasiswa kampus berkenaan perubahan yang mereka ingin bawakan dan adakah ini harapan mahasiswa kita seramai 14 000 orang di dalam kampus ini?

Bak peribahasa, mereka ini bagai menyusu anak kera di hutan, anak sendiri di rumah dibiarkan mati kelaparan. Akibat ingin mengejar nama dan populariti murahan, mereka sanggup berpaling tadah daripada perjuangan mahasiswa itu sendiri semata-mata untuk menunjukkan kehebatan murahan mereka di medan pilihan raya.

Alang alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Alang-alang berjuang demi mahasiswa, teruskan perjuangan mahasiswa ini untuk membimbing mahasiswa ke arah kebajikan dan sahsiah yang baik, bukan dengan berada di jalanan ketika yang lain sibuk mengulangkaji untuk peperiksaan akhir yang bakal menjelma.

Saya tidak menyalahkan mana-mana pihak kerana masing-masing punya alasan sendiri. Akan tetapi saya ingin tegaskan mahasiswa sekarang bijak membaca strategi sesetengah pihak yang sehingga ini tiada satu perubahan yang dapat kita lihat selain makin menjadi-jadi pengaruh politik luar terhadap mereka.

Saya dengan ini menyeru rakan-rakan mahasiswa agar menolak unsur politik luar daripada bertapak dalam universiti kita dan biarkan kita menjana kepimpinan dan keintelektualan kita menggunakan acuan dan ideologi mahasiswa kita tersendiri.

Hal ini dilihat sama akan terjadi jika guru turut terlibat dalam gejala politik kerana sesungguhnya guru itu lebih penting kerana tanpa guru, pengajaran akan lumpuh terus di institusi pendidikan negara.

Malah dalam Perlembagaan Persekutuan Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (Pindaan) 2002 P U (A) 246 termaktub bahawa pegawai dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional dilarang mengambil bahagian dalam aktiviti politik atau memakai mana-mana lambang sesuatu parti politik.

Pada pendapat saya, jika ini ingin dikuatkuasakan, kerajaan perlu memikirkan satu cara atau kaedah bagi membendung para pengajar ini daripada menjadi ekstrimis politik sehingga terbawa-bawa kesannya di dalam kelas-kelas mereka nant.

Akhir kata, kita selaku golongan berpendidikan negara harus menjaga institusi pendidikan negara kita daripada dicemar anasir politik luar. Golongan berilmu dilihat sebagai batu loncatan bagi mereka mendapatan pengaruh buat masa ini.

Oleh itu, mari kita bersatu hati menolak segala unsur politik luar dan saya memberi amaran agar jangan menghina dan mencabul institusi pendidikan negara dengan tempias politik ini kerana negara mungkin tumbang jika institusi ini goyah suatu hari kelak.

Sesungguhnya saya tidak mahu Malaysia ketandusan cendikiawan hanya kerana kepentingan politik nafsu oleh sesetengah pihak. Moga Allah lindungi dan merahmati Malaysia ku tercinta.

2 comments:

  1. Salam...

    Satu pandangan yang cukup menarik...

    Ada beberapa soalan yang ingin ditanya...

    1- Berapa lama ideologi mahasiswa perlu dipegang oleh seseorang??? selamanya atau hanya semasa menjadi mahasiswa???

    2- Siapakah yang digalakkan untuk berpolitik??? Ahli perniagaan yang banyak memonopoli politik malaysia atau ada siapa lagi???

    Pencerahan diharapkan....

    ReplyDelete
  2. salam anon..
    ini skadar pandangan saya dan bukan merangkumi kata orang lain ya..

    1. nama juga dah menggambarkannya, hanya mahasiswa berhak memperjuangkannya. tidak salah jika selamanya seseorang itu nak pegang ideologi itu, smngat itu masih ada tetapi kita kena igt, mahasiswa akan hilang jati dirinya jika membiarkan org luar mencabul ideologi itu..sebaiknya hanya mahasiswa berhak perjuangkan demi mahasiswa

    2. scara tak langsung, setiap org yang sudah berakal mampu memilih penderian mereka. politik tak d khas kan pada sesiapa tetapi org itu perlu tahu batasnya. dalam apa jua bidang kita ceburi ada politik sendiri, jadi jangan kita terlalu taksub ataupun menjadi ekstrimis, akhirnya niat tidak akan menghalalkan cara

    ReplyDelete