Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Thursday, 19 February 2009

Institut Pengajian Tinggi Buka Pintu Bagi Ahli Politik

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan

Tidak lama lagi, UM akan menyediakan pentas bagi kehadiran beberapa nama besar dalam politik negara seperti Dato Husam Musa, Naib Presiden PAS dan juga YB Khairy Jamaluddin, Naib Ketua Pemuda UMNO yang juga merupakan calon Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan akan datang.

Khairy Jamaluddin
Dato Husam Musa

Baru-baru ini AUKU yang telah ‘dilonggarkan’ membolehkan mahasiswa menjemput ahli politik negara tetapi hanya dengan tujuan ceramah ilmiah dan bukan bagi menyampaikan dakyah mahupun fahaman politik masing-masing.

Pada pendapat saya, ini adalah satu pendedahan yang baik bagi mahasiswa terutamanya bagi kita menilai dan berkongsi pendapat bersama-sama dengan orang yang sudah ‘otai’ dalam kancah pimpinan dan perjuangan.

Selain itu, ini juga membolehkan kita mendapat ‘input’ ilmiah yang baik daripada ikon-ikon negara supaya mesej yang baik dan ilmu yang berguna dapat disampaikan dan kita sama-sama dapat mengamalkannya dalam kehidupan seharian kita.

Akan tetapi, niat dan objektif perlu ditetapkan dan diperbetulkan. Mungkin sesetengah pihak berniat membawa tokoh-tokoh besar ini masuk dengan nama ‘perkongsian ilmu’ atau ‘debat ilmiah’ juga memasang niat lain disebaliknya.

Apa yang saya lihat, mungkin 2-3 tahun daripada sekarang, ahli politik sendiri akan turun ke universiti-universiti untuk menunjukkan keintelektualan masing-masing bagi meraih undi mahasiswa yang rata-rata sudah layak bagi mengundi.

Ini kerana mengimbau kisah Pilihanraya Umum ke-12 yang lalu, nyata pengundi muda memainkan peranan penting dan antara yang banyak mengubah corak kepimpinan negara masa kini adalah melalui saluran pengundi muda itu sendiri.

Pentas universiti yang sepatutnya menjadi pentas sebaran ilmu dan perkongsingan pengalaman akan bertukar menjadi ‘kempen’ tidak langsung. Ini tidak mustahil kerana ahli politik tetap akan menjadi ahli politik walau dalam majlis mana mereka pergi.

Bukan saya mempunyai sikap prejudis dan pandangan buruk terhadap kedatangan ahli politik, akan tetapi saya tidak mahu pentas universiti yang sepatutnya melahirkan pemimpin yang berideologi sendiri sebagai mahasiswa dicemari oleh politik-politik luar yang makin lama makin terdesak mencari penyokong tidak kisah di pihak mana mereka berada.

Oleh itu, sebarang penganjuran forum atau majlis bersama pemimpin politik perlu disertakan garis panduan yang jelas untuk membolehkan ahli politik ini tahu apa yang sepatutnya mereka cakap dan segalanya ada batasnya.

Bak kata pepatah, telajak perahu boleh ditarik, telajak kata memang tiada jalan undurnya. Ahli politik memang pantang mendapat mikrofon dan mereka mampu bercakap berjam lamanya bagi menunjukkan kebaikan diri mahupun fahaman yang dipegang oleh mereka.

Jadi kita sebagai mahasiswa, saya menyeru anda agar berfikir secara matang. Tiada halangan bagi kita menyokong mana-mana pihak kerana kita rata-rata sudah berumur lebih 21 tahun dan membolehkan kita mengundi secara sah.

Apa yang ingin saya perkatakan di sini ialah, kita sebagai mahasiswa perlu menjaga kestabilan dan keharmonian kampus kita. Universiti adalah medan ilmu dan segala acara yang dianjurkan perlu berasaskan ilmu dan pengajaran yang mampu kita genggam.

Perlu diingat semula objektif kita ke universiti juga untuk mendapat segulung ijazah kelas pertama sebaiknya bagi membolehkan kita bersaing di pasaran pekerjaan kelak.

Akhir kata, syabas dan tahniah atas penganjuran forum-forum intelek di sekitar Universiti Malaya dan diharapkan tradisi kecemerlangan UM akan terus berkembang maju bagi menaikkan nama UM setaraf nama-nama universiti terulung di dunia.

UM is ONE!!!

No comments:

Post a Comment