Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Monday, 23 February 2009

Ke Syurgakah Aku?

Sabtu malam Ahad yang lepas, Kursus Jenazah & Amali Sembelihan (KURJAS) anjuran Balai Islam ASTAR telah menjemput Ustazah Datuk Siti Norbahiyah untuk memberi satu ceramah perdana berkenaan tajuk ‘Ke Syurgakah Aku?’. Akan tetapi akibat masalah kesihatan, Ustaz Wan Akasyah yakni suami Ustazah Norbahiyah hadir memberikan ceramah tersebut.

Beliau membincangkan beberapa perkara agar kita membuka minda supaya kita dapat menilai, adakah kita sudah layak ke Syurga.

Beliau menasihatkan kita hidup seperti lebah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Rasullullah S.A.W..Jika diperhatikan lebah hanya makan bahan yang baik dan berkhasiat saja seperti debunga. Itu juga yang perlu kita utamakan terutamanya bagi menjaga kesihatan fizikal dan mental kita.

Lebah juga adalah haiwan yang hidup dalam berkumpulan atau secara berjemaah. Sebagai manusia kita memerlukan rakan dan sahabat dan kita perlu hidup saling bekerjasama antara satu sama lain bukan sahaja untuk kepentingan diri sendiri malah semangat kerjasama dan perpaduan ini mampu menyerlahkan dan memajukan sesuatu kelompok atau organisasi.

Bila kita tinggalkan suatu tempat atau berpindah ke tempat lain, kita perlu tinggalkan dengan nama yang baik. Seperti lebah yang tinggalkan sarangnya, ia langsung tidak menjejaskan pokok tempat saranya dibina. Kita hadir ke suatu tempat seperti universiti atau tempat pekerjaan jangan pula kita merosakkan nama baik tempat kita itu sekaligus merosakkan reputasinya.

Bila diperhatikan lebah yang mempunyai permaisuri, pekerja dan sebaginya menunjukkan mereka sudah ada sitem organisasi yang baik. Ini perlu di ambil iktibar oleh kita agar dalam kehidupan seharian tak kira dalam keluarga mahupun di tempat kerja, kita mempunyai satu system organisasi yang baik bagi melancarkan segala pekerjaan dan boleh mendapatkan hasil lumayan kelak.

Hidup kita sebenarnya banyak dipengaruhi oleh persekitaran. Kita banyak dipengaruhi oleh media, pengaruh luar yang buruk dibawa masuk oleh anasir-anasir luar dengan pelbagai cara. Oleh itu kita harus mempunyai jati diri yang kuat bertunjangkan Islam bagi menghindarkan kita daripada anasir yang buruk seterusnya membuatkan kita hanyut dipengaruhi persekitaran sekarang. Hanya Islam yang boleh membawa kita ke jalan yang benar jalan yang diredhai Allah.

Sesungguhnya Allah memiliki semuanya di dalam dunia ini termasuk nyawa kita. Oleh itu nyawa kita boleh dicabut Allah bila-bila masa seperti yang telah tersurat dalam qada dan qadar. Semuanya Allah lakukan bagi menunjukkan kepada kita terhadap keAgunganNya.

Apabila sahabat mahupun keluarga kita memberi hadiah pada kita, kita mesti akan menjaga hadiah itu sebaiknya. Tetapi banyak orang yang tidak menjaga dan mengabaikan hadiah dan nikmat yang diberikan oleh Allah. Hadiah Allah sungguh tak ternilai. Mata, mulut, telinga, tangan dan kaki semuanya pemberian Allah tanpa kita perlu bayar pun. Tetapi ada juga manusia yang menggunakannya ke arah kemungkaran bukan ke arah kebaikan.

Begitu juga dengan keluarga, suami, isteri dan anak-anak. Semua ini merupakan hadiah daripada Allah yang tidak ternilai, tetapi ramai yang mengabaikan ibu bapanya, anak-anaknya demi mengejar harta dunia yang fana. Sesungguhnya harta benda itu semua boleh diambil oleh Allah tanpa perlu meminta izin daripada tuannya pun.

Sekarang ini manusia tidak ramai yang yakinkan Allah seperti keyakinan kita pada wujudnya elektrik. Natijahnya sama, elektrik tak dapat kita lihat dengan mata kasar begitu juga Allah. Akan tetapi manusia sekarang lebih takut dan percaya pada adanya elektrik berbanding adanya Allah. Jika semua umat manusia percaya dan yakin Allah wujud sama dengan rasa mereka pada elektrik itu, maka dunia kita akan jauh terhindar daripada perkara-perkara yang mungkar.

Ramai umat manusia sekarang tidak kenal lagi tuhan mereka iaitu Allah. Patutkah kita tidak kenal Allah? Sedangkan jika kita tidak kenal sahabat, keluarga, anak dan isteri itupun sudah dianggap tidak patut, inikan pula tidak mengenali tuhan yang memberi segala nikmat hidup di dunia ini.

Hanya Allah yang boleh mengurniakan hidayahNya kepada orang yang dikehendakiNya. Orang yang tidak mendapat bimbingan Allah boleh diibaratkan seorang pelajar yang tidak mendapat bimbingan pensyarahnya. Lama-kelamaan pelajar itu akan terus sesat dan tidak menemui kejayaan dan mensia-siakan masa pembelajarannya. Jika kita tidak mendapat petunjuk dan bimbingan Allah, maka iman kita akan kosong dan kita telah mensia-siakan kehidupan kita di bumi Allah ini.

Sebagai umat Islam, Ustaz Akasyah ada menggariskan beberapa cara untuk mendapat petunjuk agar iman kita terpelihara dan sentiasa konsisten, pertama sekali kita tidak harus meninggalkan sembahyang 5 waktu. Kedua, hadirkan diri ke majlis ilmu kerana itu merupakan ubat kepada hati selain bagi menambah ilmu berkenaan agama kita.

Ketiga sentiasa pandai mencari kawan-kawan. Pilih kawan yang boleh membimbing anda ke jalan yang benar dan hindarkan diri daripada orang-orang yang boleh menjatuhkan kita. Keempat baca dan fahami Al-Quran yang merupakan kalam Allah dan mukjizat teragung bagi umat akhir zaman dan akhir sekali jangan kita berputus asa meminta doa daripada Allah sesungguhnya Allah sahaja tempat kita memohon dan berlindung.

Sedikit coretan mengenai KURJAS, sepanjang sesi kita mengadakan pelbagai jenis projek, kita menganjurkan projek yang berunsurkan kebajikan, sukan, seni hingga keagamaan. Tetapi bagi saya adalah 1 projek yang baik adalah apabila ia boleh menggabungkan 2 atau lebih unsur dalam projek itu.

Kurjas adalah salah satu projek yang sebegini. Di mana ia menggabungkan penerapan ilmu serta keagamaan dalam satu masa. Sesungguhnya Islam dan Ilmu tidak dapat dipisahkan. Mukjizat teragung Al-Quran itu sendiri terisi dengan pelbagai jenis ilmu yang kita sendiri tidak tahu kerana kita tidak berusaha untuk cungkil dan cari sebagaimana ilmuan Islam seperti Al-Biruni, Ibnu Sina dan banyak lagi tokoh Islam yang telah berjaya mengkaji kalam Allah itu.

Oleh itu saya yakin dengan pelbagai ceramah yang kita ada daripada pengurusan jenazah, amali sembelihan dan juga ceramah perdana sedikit sebanyak telah memberi kita ilmu untuk berkhidmat kepada masyarakat bila kita keluar daripada universiti ini kelak.

Akhir kata, tahniah dan syabas kepada penganjur KURJAS yang rata-rata merupakan pelajar tahun satu ASTAR. Diharap pengalaman ini adalah amat berguna bagi anda dan dapat dimanfaatkan di masa yang akan datang.

No comments:

Post a Comment