Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Friday, 27 February 2009

2 Tutup 5 Naik!!!

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan

Hampir 10 000 pengguna lebuh raya melepaskan nafas lega apabila kerajaan mengumumkan pemansuhan 2 tol utama di ibu kota iaitu Tol Salak Jaya yang melibatkan Lebuhraya Besraya dari Jalan Istana ke Pekan Sungai Besi dan di Lebuh Raya Baru Pantai (NPE) dengan memansuhkan kutipan tol di Plaza Tol PJS 2 menghala ke Kuala Lumpur, bermula 13 Februari lalu.

Akan tetapi, hampir kesemua pengguna lebuhraya negara tergempar dengan pengumuman kerajaan menaikkan kadar tol di lima lebuh raya semalam.

Bagai luka yang belum sembuh, tindakan ini seakan-akan garam yang diletakkan pada luka yang masih dihadapi kebanyakan rakyat kita.

Sudah jatuh ditimpa tangga, dengan keadaan ekonomi yang tampak goyah sehingga kerajaan terpaksa menyediakan satu ‘bajet mini’, tindakan ini sememangnya tidak kena pada waktunya.

Keluar mulut buaya, masuk mulut singa. Walaupun 2 tol telah ditutup, parahnya berganda apabila 5 lagi tol dijangka dinaikkan sebanyak 0.68 sen hingga 50 sen.

Menurut Perdana Menteri yang mengulas kenaikan tol Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus), Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh), Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) dan Lebuh Raya Baru Pantai (NPE) yang diumumkan Menteri Kerjaraya, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed sebagai tidak sesuai dengan situasi semasa.

Katanya, keputusan ini dibuat di kabinet kira-kira 2 atau 3 minggu yang lalu ketika ekonomi tidak berada dalam situasi getir dan berbeza dari sekarang.

Satu keputusan yang bijak daripada YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang saya anggap mesra rakyat dan sebagai pemimpin, beliau seharusnya membela nasib rakyat di bawah pimpinan beliau ini.

Beliau juga menjelaskan bahawa keputusan kerajaan sebelum ini untuk membenarkan kenaikan tol itu dibuat sejajar dengan perjanjian konsesi dengan pengendali lebuh raya terbabit kerana sudah tiba masanya kadarnya dikaji semula kerana syarikat terbabit ketika ini turut menerima beban daripada keadaan ekonomi semasa.

Pada pandangan saya, seharusnya mana-mana menteri yang ingin membuat kenyataan perlu berbicara dan bertanyakan pendapat Perdana Menteri terlebih dahulu. Tindakan ini seolah-olah ia telah membelakangkan ketua kerajaan tersebut.
Dengan keadaan semasa, idea ini sungguh tidak bernas dan padahnya boleh dijelmakan apabila pertempuran di 2 bukit (1 bukit belum sahih) mungkin akan menunjukkan ‘trend’ yang sama seperti di Kuala Terengganu dan Permatang Pauh.

Saya percaya rakyat juga faham akan kerumitan dihadapi kerajaan terutamanya pada bajet dan kewangan yang kian menurun oleh syarikat yang terlibat sama dengan 5 lebuhraya itu.

Sebagai mahasiswa, kami menyokong penuh usaha murni yang cuba dibawa oleh pihak kerajaan tetapi ia perlu diletakkan di tempat yang benar. Sesungguhnya apabila sesuatu itu tidak diletakkan ditempatnya, ia suatu perbuatan yang zalim.

Saya menyokong jika cadangan ini ditangguhkan ke satu masa yang ekonomi negara lebih stabil dan rakyat juga tidak akan terbeban. Ini bukan sahaja menguntungkan rakyat malah kerajaan juga mampu menyelesaikan beberapa masalahnya kemudian.

Saya tidak mahu Malaysia dicemari demonstrasi, caci maki dan sebagainya seperti yang dirancang dan yang sedang berlaku baru-baru ini.

Akhir kata, saya memohon agar pihak kerajaan supaya mengambil langkah yang bijak dan positif agar tiada perkara-perkara yang tidak diingini dan yang mungkin menimbulkan kekecohan dalam negara terus berlaku dan mengugat nama baik negaraku yang tercinta ini.
*Terbaru: Timbalan Perdana Menteri mengumumkan penangguhan kenaikan harga tol ini hinga ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

No comments:

Post a Comment