Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Wednesday 4 February 2009

Terkini: Pergolakan Politik Perak

Jamaluddin, Osman sertai Umno, Nasaruddin balik ke BN
Feb 4, 09 3:51pm

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang Jamaluddin Mohd Radzi dan Adun Changkat Jering, Osman Jailu akan menyertai Umno. Menurut The Star, kedua-duanya kini dalam perjalanan ke Putrajaya. Manakala MStar melaporkan Adun Bota, Datuk Nasaruddin Hashim kembali semula ke pangkuan Umno. Sebelum ini, semua Adun dan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) telah diarahkan menemui Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya. Najib juga dijadual mengadakan sidang akhbar pada jam 4 petang ini. ~Malaysiakini
Hampir pasti kerajaan baru di Perak petang ini...
February 4, 2009 : 02.38 PM

KERAJAAN BARU PERAK HAMPIR PASTI… Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri Perak sah telah meninggalkan parti masing-masing meletakkan kerajaan campuran negeri Perak kini ibarat telur di hujung tanduk. ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan Changkat Jering, Osman Jailu dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan ADUN Jelapang Hee Yit Foong yang juga Timbalan Speaker DUN Perak hari Rabu telah menghantar surat kepada parti masing-masing memaklumkan keputusan keluar parti.
Agendadaily yang mendapat salinan surat ketiga-tiga ADUN berkenaan daripada sumber dalaman PKR dan DAP, mengesahkan surat berkenaan telah diterima oleh parti masing-masing berdasarkan cop tanda terima PKR dan DAP pada surat berkenaan. Dalam surat tersebut ketiga-tiga mereka menjelaskan telah hilang kepercayaan kepada parti masing-masing dan keluar dari parti yang diwakili.
Namun surat itu menegaskan, perisytiharan keluar parti itu tidak bermakna mereka meletakkan jawatan sebagai ADUN. “Sila ambil maklum bahaw a perisytiharan saya keluar parti/tidak lagi menjadi ahli DAP tidak bermaksud saya meletakan jawatan selaku Ahli Dewan Undangan Negeri dan apa jua notis perletakan jawatan sebagai Ahli Dewan Negeri yang ditandatangani secara “undated” dan tidak cop rasmi saya adalah dengan ini terbatal secara ab initio ,” demikian tegas Yit Foong dalam suratnya yang dialamatkan kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guang Eng.
Begitu jugalah kandungan surat Jamaluddin dan Osman yang ditujukan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Difahamkan surat tersebut telah sampai kepada pengetahuan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin. Ekoran itu Nizar dijadual membuat sidang media jam 1.00 petang yang dikatakan akan membuat pengumuman pembubuaran DUN Perak tetapi telah ditangguhkan. Difahamkan pihak Istana Perak telah dimaklumkan mengenai perkembangan yang berlaku dan ketiga-tiga ADUN berkenaan telah mengutuskan surat kepada pihak Istana menyatakan sokongan kepada Barisan nasional (BN) untuk membentuk kerajaan yang baru. Perkembangan lanjut mengenai kemelut politik Perak akan dilaporkan dari semasa ke semasa. ~ Agenda daily

BN bakal bentuk k'jaan baru Perak
Jimadie Shah Othman Feb 4, 09 5:06pm

Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa BN Perak cukup majoriti untuk membentuk kerajaan baru selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) menyokongnya secara terbuka hari ini.Timbalan perdana menteri berkata, dua bekas Adun PKR - Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) telah bersetuju menyokong pembentukan kerajaan BN itu.
Begitu juga dengan Adun Jelapang, Hee Yit Foong yang keluar DAP hari ini. Ketiga-tiganya kini sebagai wakil rakyat bebas.

Manakala Adun Bota, Datuk Nasarudin Hashim - yang mengumumkan melompat kepada PKR selama 10 hari - kembali semula kepada Umno dan memberi sokongan kepada kerajaan BN negeri.Najib berkata, Jamaluddin, Osman dan Hee menyatakan perkara itu kepadanya semalam."Dan hari ini Datuk Nasarudin berjumpa dengan saya dan menyatakan ingin kembali (ke pangkuan Umno)," katanya dalam sidang akhbar khas di pejabatnya di Putrajaya.
Keempat-empat mereka turut hadir di sidang akhbar tersebut.

Najib menambah, Jamaluddin, Osman dan Hee telah memaklumkan melalui surat kepada Sultan Perak bahawa mereka telah meninggalkan parti masing-masing.Menurutnya, keempat-empat mereka telah memberikan mandat dan akujanji untuk mencalonkan wakil rakyat BN sebagai nama menteri besar baru menggantikan Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin. Katanya, keempat-empat mereka telah memaklumkan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) V Sivakumar, PKR dan DAP bahawa mereka bukan lagi ahli parti-parti tersebut.

Najib berkata, berdasarkan Fasal 16 (6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak, menteri besar - apabila hilang keyakinan dan majoriti - dan barisan exconya harus meletakkan jawatan.Katanya, beliau akan menghadap Sultan Azlan Shah secepat mungkin bagi memaklumkan penubuhan kerajaan baru BN.Ditanya tarikh beliau akan ke istana, Najib berkata, ia bergantung kepada perkenan baginda.Najib juga menafikan wujud paksaan atau penggunaan wang untuk membeli wakil-wakil rakyat itu dalam proses pembentukan kerajaan baru.

Ditanya pertuduhan rasuah yang dihadapi oleh Jamaluddin dan Osman, timbalan perdana menteri enggan mengulas dengan berkata "ia adalah isu yang berbeza".Ditanya sekiranya Sultan bersetuju membubarkan DUN Perak seperti yang diminta oleh Pakatan Rakyat, Najib berkata, kuasa mutlak di tangan baginda."Apa-apa perkara, itu akan diputuskan oleh Sultan," katanya.
Ditanya bagaimana BN hendak membentuk kerajaan memandangkan tiga daripada Adun yang menyokong parti sebagai wakil-wakil rakyat bebas, Najib berkata, mereka adalah "Adun bebas yang menyokong BN".

Katanya lagi, apabila undian dijalankan di DUN nanti, BN yang mempunyai 28 kerusi akan mendapat sokongan tiga Adun bebas terbabit.Pakatan Rakyat kini mempunyai 28 kerusi.Bagaimanapun, Speaker DUN tidak boleh mengundi, jadi Pakatan hanya mempunyai 27 kerusi.Mengulas isu moral melompat parti, Najib berkata: "Kita tidak mulakan, siapa yang bercakap pada 16 September".Ditanya tentang negeri lain yang mungkin diambil alih BN, Najib enggan mengulas dan berkata "itu cerita lain".Ditanya bilakah beliau mula berbincang dengan Adun-adun berkenaan untuk meninggalkan PKR dan DAP, Najib berkata, beliau tidak perlu memberitahu "sama ada pagi, petang atau malam". ~Malaysiakini

Najib menghadap Sultan Perak hari ini sembah cadangan tubuh kerajaan baru
February 5, 2009 : 02.43 AM

Ketika kerajaan campuran di Perak kelam kabut menggunakan ‘talian hayat’ terakhir bagi memohon perkenan Sultan Perak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Barisan Nasional (BN) Perak mempunyai bilangan majoriti yang cukup untuk tubuh kerajaan baru di negeri itu.

Ini kerana empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Jamaluddin Mohd Radzi (PKR-Behrang), Mohd Osman Jailu (PKR -Changkat Jering),Hee Yet Fong (DAP -Jelapang) serta Datuk Nasarudin Hashim (Bota) sudah memaklumkan kepada Sultan Perak bahawa mereka menyokong BN tubuh kerajaan baru. Beliau membuat pengumuman itu dalam sidang akhbar di Jabatan Perdana Menteri ,Putrajaya Rabu petang.

Menurut Najib, tiga ADUN berkenaan kekal sebagai wakil rakyat Bebas yang 'mesra BN' manakala Nasarudin akan kembali ke pangkuan UMNO selepas sertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) minggu lalu. Dengan itu BN ada 28 kerusi,Bebas tiga manakala Barisan Pembangkang 28 kerusi.Majoriti BN + Bebas dalam DUN Perak kini 3 kerusi. Dalam sidang medianya itu, Najib memaklumkan beliau akan menghadap Sultan Perak esok (Khamis) bagi menyembah cadangan penubuhan kerajaan baru dan calon Menteri Besar yang baru di negeri itu.

Katanya, hanya Sultan Perak sahaja mempunyai kuasa muthlak membubarkan DUN. Terdahulu di Perak, Menteri Besar Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin sudah mengumumkan hendak membubarkan DUN sebelum menghadap dan memohon perkenan Sultan Perak. Bagaimanapun,selepas keluar Istana Kinta,di Ipoh petang Rabu setelah mengadap baginda,beliau memberitahu wartawan yang menunggu, ' terserah kepada Tuanku' memutuskan soal pembubaran DUN.~Agenda Daily

No comments:

Post a Comment