Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Friday 2 January 2009

Dilema Pelajar : Akademik atau Aktiviti

Assalamualaikum..Salam Perpaduan kepada para sahabat..

Seperti yang saya janjikan dalam artikel yang lepas, saya ingin mengupas sedikit sebanyak punca kurangnya penghuni kolej yang berminat bagi menyertai aktiviti-aktiviti tak kira kolej mahupun anjuran UM sekalipun. Mari kita sama-sama kupas dilema ini dan saya jemput jika anda mempunyai pengalaman atau pendapat, tinggalkan komen di bawah.

Sedarkah anda yang terdapat 16 fakulti/akademi dalam UM dan 14 daripada itu mengamalkan sistem pengajian semeter(4-5 bulan) manakala Fakulti Perubatan dan Fakulti Pergigian masih kekal dengan sistem pengajian sesi(10-11 bulan). Dalam perbincangan pihak pimpinan tertinggi mahasiswa yang lalu menyatakan sistem semester ini antara faktor kenapa semakin ramai pelajar menyisihkan diri mereka daripada menyertai aktiviti yang lain. Tidak seperti beberapa dekad yang lalu ketika pada waktu itu pengajian semuanya dalam sesi, pelajar sekarang terikat dengan tempoh masa yang singkat. Dalam 4 hingga 5 bulan itu lah mereka terpaksa hadapi tugasan-tugasan, kuiz, peperiksan pertengahan semester dan akhirnya peperiksaan akhir semester. Untuk menghabiskan pengajian dalam masa yang ditentukan (3 atau 4 tahun), ada pelajar yang terpaksa mengambil sehingga 21 jam kredit malah ada yang ambil lebih daripada itu.

Dahulu ketika mungkin zaman ayah dan datuk kita belajar, mereka mempunyai masa yang terluang dalam tempoh pembelajaran. Oleh itu, mereka bukan setakat menguasai akademik yang dikejar, malah mengaut pengalaman lain dengan menyertai dan menganjurkan aktiviti. Pengalaman memimpin, berkomunikasi, bekerja dalam kumpulan, bersukan dan sebagainya, ini tidak terdapat dalam bilik-bilik kuliah dan semuanya dipelajari daripada penyertaan dalam aktiviti-aktiviti luar.

Tiada niat dalam diri saya mengatakan sistem semester ini tidak bagus. Pelajar luar negara juga mengamalkan sistem semester tetapi mereka mempunyai had tersendiri mungkin 14 hingga 16 jam kredit untuk 1 semester dan pengajian mereka kebanyakannya lebih lama daripada dalam negara. Oleh itu, mereka ada masa terluang untuk menyertai aktiviti sampingan selain akademik masing-masing.

Saya pernah bersembang dengan seorang tokoh koperat yang tidak mahu identitinya dihebahkan. Beliau mempunyai pengalaman luas dalam bidang merekrut dan menemu ramah pekerja baru terutamanya lepasan ijazah pertama. Beliau tidak nafikan pelajar lepasan ijazah waktu ini kebanyakannya mempunyai kelulusan akademik yang sangat tinggi. Tetapi beliau meluahkan rasa sedihnya apabila 70% daripada mereka tidak mempunyai kaliber atau kemahiran untuk menempuh dunia luar. Mereka tidak mempunyai kemahiran berkomunikasi, penguasaan bahasa Inggeris yang lemah malah ada yang tidak tahu mengenakan pakaian yang sesuai untuk hadir ke temu duga. Kesimpulannya, bila ditanya kepada mereka, kebanyakan menjawab mereka tidak menceburkan diri dalam bidang lain semasa pengajian di universiti selain mentelaah dan membuat tugasan sahaja.

Saya di sini bukan ingin mempengaruhi anda untuk menyertai projek kerana akhirnya anda yang menentukannya. Tetapi saya ingin mengajak rakan-rakan supaya jangan sia-siakan masa kita di universiti ini. Ini lah platfom bagi kita mempelajari pelbagai ilmu bukan setakat akademik malah kemahiran insaniah yang lain. Berikan sepenuh komitmen bagi sebarang projek yang anda sertai kerana sertai projek tanpa berikan sumbangan sama sahaja seperti anda tidak menyertainya malah ia boleh dianggap sebagai membuang masa anda yang berharga itu.

Oleh itu, ingin saya simpulkan di sini yang pengajian akademik memang penting dan merupakan objektif kita yang utama. Tetapi jangan kita sia-siakan masa kita yang sangat bernilai ini. Sertai dan alami pengalaman menyertai dan menganjurkan program diperingkat kolej mahupun peringkat universiti kerana pengalaman itulah yang amat berharga dan tidak mungkin anda perolehi dalam kuliah semata-mata. Bersama kita berusaha memacu kolej dan universiti ke tahap yang lebih baik dan cemerlang demi masa depan kita bersama.

Astar is First!
UM is ONE!!!

No comments:

Post a Comment