Sekian lama menyepi kali ini saya tampil dengan beberapa isu hangat yang kian menjadi bualan di serata pelusok negeri. Dari sembang-sembang kedai kopi hingga ke usul ilmiah secara berdebat tak kira bahasa Melayu mahupun bahasa Inggeris. Semua peringkat dari muda ke tua sudah tahu keadaan di Malaysia masa kini semakin hangat. Bukan sahaja kerana suhuya, tetapi keadaan senario yang sedang berlaku dalam negara.
Saya mulakan dahulu dengan isu politik terkini. Saya harap pembaca tidak melabel saya di mana-mana pihak kerana ini pandangan peribadi yang berdasarkan pengamatan saya saban hari ini. Saya ingin memberi tumpuan kepada isu lompat si katak lompat. Bagaimana seorang YB yang menang pilihan raya umum Mac lalu atas tiket parti kerajaan telah memaling hala tujunya ke arah parti pembangkang. Ini pada saya tidak salah kerana tiada peraturan mahupun undang-undang yang memperuntukkan atas perbuatan sebegitu. Tetapi ia melibatkan moral dan maruah diri itu sendiri, jika beliau berasa perkara yang dilakukan tepat tanpa menghiraukan caci maki ‘rakan-rakan’ lamanya, tiada masalahnya untuknya bagi berpihak ke parti pembangkang. Akibat daripada itu, timbul 2 situasi dari 2 parti berlainan. Situasi pertama adalah apabila Ketua perhubungan parti ‘pembangkang’ yang merupakan bekas Menteri Besar di Perak baru-baru ini telah meletakkan jawatannya atas sebab menyifatkan tindakan YB lompat parti ini sebagai tanda undi tidak percaya terhadap kepemimpinannya. Bukan YB itu sahaja, dengar khabarnya ada beberapa orang YB lagi yang bakal berpaling tadah tidak lama lagi. Situasi kedua pula, Ketua Menteri Pulau Pinang telah meminta Kerajaan Pusat agar menggubal undang-undang ‘anti lompat parti’ agar membolehkan satu pilihan raya kecil diadakan di tempat berkenaan dengan memberi peluang penyandang kerusi adun atau parlimen itu bertanding atas tiket parti barunya itu. Walau bagaimanapun reaksi kedua belah pihak ini, pihak yang untung untuk waktu ini tetap YB tersebut dan parti barunya.
Budaya katak si katak lompat makin 'diterima' pihak yang mulanya membidas budaya ini
Ekonomi dunia sedang bergolak. Sana sini kita mendengar berita kemelesetan ekonomi bukan sahaja dalam negara malahan negara-negara luar turut terjejas tidak terkecuali negara besar seperti Amerika sendiri. Banyak kilang-kilang yang dikatakan terpaksa memberhentikan operasi seterusnya menyebabkan ramai pekerja akan kehilangan sumber pendapatan mereka selepas ini. Baru-baru ini negara digemparkan dengan penutupan kilang Intel di Bayan Lepas, Pulau Pinang baru-baru ini kerana ingin mengurangkan kos akibat mengalami tempias kemelesetan ekonomi dunia ini. Ramai orang dijangka akan kehilangan kerja tetapi kerajaan negeri berkenaan telah berjanji akan memindahkan pekerja itu ke kawasan perindustrian di Kulim bagi mengelakkan sebarang kehilangan pekerjaan berlaku. Ini satu inisiatif yang baik tetapi ini telah menunjukkan saat-saat genting yang sedang melanda negara kita. Di Amerika, 200 premis Starbucks iaitu rangkaian kedai kopi yang popular dijangka akan ditutup dan 100 lagi premis seluruh dunia juga dijangka akan mengalami nasib yang sama bagi mengatasi kelemahan ekonomi global dan situasi pelanggan sekarang. Pemimpin yang bijaksana amat diperlukan masa kini untuk memikirkan langkah terbaik untuk menyelesaikan masalah ekonomi yang sedang melanda sekarang sekaligus memulihkan kembali ekonomi negara seperti yang pernah dilakukan pada era Tun Dr. Mahathir.
Hal ehwal jenayah juga tidak kurang hebat di dalam negara pada waktu ini. Dengan kes kematian A. Kugan telah menyebabkan kredibiliti Polis terjejas tambahan dengan kritikan pihak pembangkang serta baru-baru ini peguam negara mengklasifikasikan kes ini sebagai kes bunuh. A. Kugan yang telah direman akibat disyaki terlibat dalam rompakan kenderaan mati dalam tahanan. Bedah siasat pertama menyatakan yang dia mati akibat mengalami paru-paru berair. Dek rasa tak puas hati, keluarga si mati meminta agar bedah siasat kedua dilakukan. Bedah siasat kedua yang dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya dijangka mengeluarkan laporan penuh tidak lama lagi. Semalam kira-kira 300 ratus orang berkumpul di depan Pusat Perubatan Universiti Malaya bagi menuntut dan mengarak mayat A. Kugan ke tempat pengkebumian. Tetapi keadaan menjadi kelam kabut apabila beberapa ahli politik pembangkang campur tangan hingga memaksa anggota Pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) bertindak menyuraikan perhimpunan tersebut. Tidak menjadi masalah jika ingin mengiring rakan dan keluarga untuk ke tempat pengebumian tetapi adalah tidak patut jika isu ini dipergunakan sebagai isu perkaumam. Saya tidak faham pemikiran sesetengah orang, adakah mereka belajar sejarah sewaktu persekolahan ataupun mereka inilah orang-orang yang kerap memonteng sekolah dan mendapat keputusan ‘cukup-cukup makan’ sahaja dalam peperiksaan. Ilmu diberikan pada kita bukan setakat untuk waktu peperiksaan tetapi untuk diamalkan disetiap waktu. Isu kaum ini adalah suatu yang amat sensetif tetapi masih ada segelintir rakyat kita yang boleh saya labelkan sebagai duri dalam daging ini senantiasa memainkan isu ini dan menimbulkan ketegangan diantara kaum. Mereka mengambil kesempatan atas seab-sebab yang tidak perlu. Dalam hal kes A. Kugan ini, biarkan pihak berkuasa untuk menjalankan tanggungjawab mereka dan yang pasti orang yang bersalah tetap akan dihukum, walaupun apa pangkat yang dijawatnya sekalipun. Saya menyeru rakyat Malaysia terutamanya warga kampus agar menjadi insane yang lebih intelek bila anda keluar ke alam pekerjaan kelak supaya keharmonian dan keamanan negara akan terus kekal seperti sedia kala di bawah pimpinan bakal pemimpin-pemimpin baru negara kelak.
Tidak ketinggalan, bagaimana kita sekarang mengharungi zaman 'menghalalkan' apa jua demi kepentingan sendiri. Ya apa yang saya maksudkan ini adalah rasuah, tak kira di peringkat politik mahupun kehidupan seharian. Ini adalah sesuatu yang hina bukan sahaja dikalangan kita malah lebih buruk ini sangat hina disisi Allah S.W.T.. Mereka sanggup menggunakan cara atau jalan pendek bagi mencapai cita-cita mereka. Banyak isu-isu politik wang tidak kira di pihak kerajaan mahupun pembangkang, sama sahaja. Mujur parlimen telah meluluskan SPRM bagi membanteras isu-isu berkenaan rasuah ini dengan lebih tegas. Ini satu tindakan bijak oleh kerajaan untuk mengatasi masalah kronik yang sedang kita hadapi sekarang ini. Kita tidak mahu dilabel negara pengamal rasuah oleh masyarakat dunia. Kita yang majoriti bangsa Melayu beragama Islam perlu pulang dan kembali ke jalan Allah untuk meneruskan sasi baki hidup kita. Kekayaan yang kita capai sekarang hanya sementara, walhal jika kekayaan itu hadir dari tangan-tangan perasuah, kekayaan itu yang akan memakan kita kembali nanti di Akhirat kelak. Oleh itu, saya bimbang dengan beberapa kajian ke atas remaja apabila ditanyakan kesudian mereka menerima rasuah bila bekerja kelak, ramai yang setuju dan sudi menerimanya. Ini suatu yang serius dan perlu diatasi daripada umur muda lagi. Kanak-kanak dan remaja perlu didedahkan bahana rasuah ini pada bangsa, agama dan negara agar mereka sedar bertapa hinanya rasuah itu.
Hapuskan rasuah dan politik wang
Kepada semua rakyat Malaysia umumnya dan rakan seperjuangan di kampus-kampus universiti seluruh Malaysia khasnya, ini adalah masa-masa meruncing bagi kita untuk terus bersatu padu. Perpecahan dan penindasan bukan lagi pilihan masa kini mahupun bila-bila pun. Kita yang tinggal di bumi yang bertuah ini dengan pelbagai bangsa, adapt dan budaya, kita seharusnya lebih menghormati sesama sendiri dan berganding bahu bagi meneruskan agenda negara bagi mencapai tahap pembangunan yang optimum. Kita sebagai generasi muda, generasi pemimpin negara masa akan datang perlu lebih berfikiran terbuka dan berani tampil dengan idea-idea baru bagi kita memastikan negara Malaysia terus berkembang maju selaras dengan negara-negara membangun yang lain. Jang kita hanya tahu melaungkan Malaysia Boleh tetapi kita perlu buktikan pada mata dunia yang sesungguhnya Malaysia memang boleh mencapai cita-citanya menuju Wawasan 2020.
No comments:
Post a Comment