Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Sunday, 18 January 2009

Selamatkah kita di UM?

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan..

Ingin saya buka bicara dengan ucapan takziah pada beberapa orang rakan saya yang mana kenderaan mereka telah dirosakkan oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab. Diharapkan anda semua bersabar dan berserah segalanya pada Allah supaya ia beri petunjuk kepada siapa yang membuat perkara tersebut kembali ke pangkal jalan.

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan beberapa siri rompakan yang kian berbahaya berlaku disekitar UM. Rompakan bersenjata di Kolej 5, rompakan di Kolej 12 dan beberapa kes ragut melibatkan penghuni Kolej 9. Saya amat bersimpati dan berang atas kejadian yang sudah berlaku ini. Apakah yang sebenarnya masalah keselamatan UM ini?

Untuk pengetahuan anda, dek kejadian di kolej kediaman 12, UM ataupun kolej 12(maaf saya tak pasti yang mana) telah mendapatkan perkhidmatan pengawal keselamatan swasta atas kapasiti kolej 12 adalah kolej terbesar dalam kampus UM ini. Bagi kes-kes ragut ini, tidak lama lagi penghuni kolej 9 boleh melepaskan nafas lega kerana satu markas SUKSIS akan ditempatkan berhampiran kawasan rumah PUSPITA. Atas desakan pelajar kolej serta kepimpinan mahasiswa yang lepas hingga sekarang, keputusan bijak ini akhirnya diluluskan oleh pihak pentadbiran universiti.

Baru-baru pula kita dikejutkan dengan kes penghinaan kepada Masjid yang bertempat di Akademi Pengajian Islam. Nampaknya 'penjenayah-penjenayah' ini cukup pandai mencari kesempatan menimbulkan kekecohan di saat pelajar sedang sibuk menyiapkan persiapan kempen bagi pemilihan MPMUM sesi ini.

Tetapi apa yang ingin saya bicarakan, inilah perjuangan sebenar pimpinan mahasiswa. Anda harus menumpukan kepada pelajar kampus ini terutamanya. Walaupun saya tahu beberapa calon mempunyai isu keselamatan dalam manifestonya tetapi masih kurang berbanding isu memansuhkan AUKU dan ISA.

Kita sebagai mahasiswa mesti berjuang demi kebajikan mahasiswa sahaja terlebih dahulu. Keutamaan tetap diberi kembali kepada mahasiswa. Jika anda mahu mansuhkan AUKU atau ISA, boleh tidak ada masalah. Tetapi berapa peratus sahaja pelajar yang pentingkan hal itu. Apa yang pelajar mahukan adalah pembangunan serta kemudahan asas yang mencukupi. Contohnya seperti masalah air yang tidak berkesudahan, masalah keselamatan yang kian berbahaya kini, waktu bas yang tidak menentu, liputan wireless yang lemah dan pelbagai lagi. Kenapa masih ada calon yang ingin bertanding tetapi memperjuangkan keinginan peribadi yang dianggap ingin membuat perubahan?

Ini adalah contoh yang tidak baik, saya merayu kepada calon agar mengutamakan kebajikan pelajar dan jangan mencampur adukkan isu politik luar dalam kampus. Sesungguhnya kita mahukan satu suasana yang mana idealisme mahasiswa itu lahir sendiri daripada mahasiswa dan bukan dipengaruhi unsur-unsur politik luar yang kotor itu.

Seperkara lagi yang ingin saya ingatkan kepada bakal pimpinan mahasiswa, keselamatan ini bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga kepada kerohanian, khususnya perpaduan kita sebagai warga kampus UM. Perpaduan sememangnya suatu yang amat penting dan saya harap anda fikir lebih jauh bagaimana untuk menambahbaikkan perpaduan ini.

Salah seorang calon yang ingin membawa perubahan ini menyatakan akan menganjurkan semua majlis keraian semua kaum di dalam kampus. Ini bukan perubahan namanya, bukan anda sahaja tetapi memang ia dibuat oleh setiap kaum tiap kali perayaan menjelma. Jadi jangan membuat manifesto yang seperti melepaskan batuk di tepi tangga dan meneguk di air keruh. Pemimpin perlu memikirkan suatu cara terbaik dan baru agar dapat dipraktikkan oleh warga UM dan mengharmonikan lagi kampus kita.

Selain itu, ada sesetengah pihak yang sangat gemarkan demostrasi. Saya tidak faham tetapi bagi mereka ia amat berhasil. Tidak salah demonstrasi jika memperjuangkan perkara yang benar tetapi rakan-rakan, saya ingin ingatkan, jika anda ada masalah sila bertemu dan berbincang dengan pimpinan mahasiswa mahupun pihak pentadbiran terus. Usahlah anda membuat keputusan terburu-buru dengan melancarkan demonstrasi atau membuat sidang akhbar. Ini amat memburukkan keadaan tambahan pula tuntutan anda juga di ambil atas angin sahaja. Letakkan pilihan untuk membuat demonstrasi ini di akhir pilihan anda, gunakan jika benar-benar anda tiada pilihan lain sahaja.

Esok adalah hari di mana mahasiswa keluar membuang undi bagi memilih pemimpin yang diharapkan dapat membawa isu kebajikan mahasiswa ke suatu pentas yang lebih baik. Saya menyarankan semua mahasiswa tak kira di luar mahupun di dalam kampus untuk turun mengundi bagi menunaikan hak anda. Jangan bila suatu kabinet MPMUM tertubuh dan anda tak puas hati akbat anda sendiri tidak turun mengundi. Setiap undi amat berharga dan anda berhak mencorak kepimpinan UM. Ayuh kita pilih untuk bergerak bagi memastikan kebajikan dan keutamaan terus diberikan kepada mahasiswa dan bukan membuat perubahan dengan memandang pada isu luar yang tidak memberi faedah pada mahasiswa. Mahasiswa Untuk Mahasiswa..

Pembuangan Undi Pemilihan MPMUM
Tarikh : 19 Januari 2009
Tempat : Kolej kediaman bagi penghuni kolej dan DTC bagi pelajar luar kampus
Masa : 9pagi - 4.30 petang

Satu tekad satu hasrat..Ayuh kita bergerak ke era baru.

UM is ONE!!!

No comments:

Post a Comment