Sokong Plan Transformasi Negara

Sokong Plan Transformasi Negara

Monday, 12 January 2009

Dunia Baru

Assalamualaikum…Salam Perpaduan

Bila disebut dunia baru, mesti ramai remaja khususnya yang akan terbayangkan drama atau filem dunia baru yang dibintangi pelakon seperti Piere Andre, Elyana, Ngasriah Ngasri, Iqram Dinzly dan lain-lain lagi. Tetapi konteks dunia baru yang saya ingin bicarakan di sini adalah bukan seperti yang tersebar di kaca tv ini.

Dunia baru membawa satu erti perubahan atau penghijrahan kita ke satu dunia atau situasi yang lebih baik daripada apa yang kita alami selama ini. Pelbagai perubahan dapat kita lakukan dan ini sering kali disebut sebagai azam baru tika semua orang ingin menyambut tahun baru. Ada yang berazam nak kurus, ada yang nak belajar lebih rajin, dan tak kurang yang berazam ingin menunaikan haji, khatam Al-Quran dan sebagainya. Tetapi apakah sebenarnya maksud dunia baru ini?

Simposium Maal Hijrah 1430 (Simpo) anjuran Balai Islam ASTAR baru-baru ini telah berjaya mengundang beberapa penceramah yang mantap. Dengan jumlah yang sederhana, ia tetap dijalankan dengan jayanya selama 3 hari bermula 9 Januari yang lepas.

Melalui Simpo, saya mendapat pendedahan lebih lanjut apa erti sebenar dunia baru. Ceramah yang bersemangat daripada Ustaz Ridhuan Tee Abdullah benar-benar membuka minda dan membakar semangat saya untuk mengorak langkah lebih jauh mencari dunia baru yang sebenar-benarnya.

Apa yang saya kagumi, sebagai seorang saudara baru, ustaz berjaya mengharung 1001 onak dan duri demi mendapat nur Islam itu sendiri berbanding kita yang mudah mendapatkan Islam sejak lahir lagi. Dengan pengajian dan pengamatan beliau terhadap nama-nama besar Islam pada ketika dahulu, menyebabkan beliau tertarik untuk mendalami Islam itu sendiri seterusnya memeluk Islam walau mendapat pelbagai tentangan termasuk daripada keluarganya pada peringkat awal. Jelasnya lagi, jika dilihat pada umat Islam zaman sekarang, memang tidak terbuka hatinya untuk memeluk agama suci ini. Cuba kita renungkan kenapa beliau mengungkapkan sedemikian.

Apa yang dapat saya fahami daripada itu, saya yakin benar yang semakin hari umat Islam memang melakukan hijrah. Tetapi sayangnya hijrah yang kebanyakannya buat adalah lebih ke arah negatif hasil kejayaan anasir-anasir Yahudi dan proksinya Amerika yang telah berjaya menghasut dan mencemar minda dan jiwa muda remaja kita.

Remaja sekarang lebih gemar dengan budaya hedoisme, budaya berhibur yang melampau membelakangi tugas hakiki mereka sebagai pelajar yang seharusnya menimba ilmu seadanya. Bak kata Ustaz Ridhuan, tak salah kita berhibur tetapi perlu ada batas dan hadnya. Contohnya seperti dendangan nasyid yang memberi pengajaran dalam senikatanya selain menghiburkan seperti yang dibawakan oleh kumpulan Wildan yang dijemput khas oleh AJK Simpo bagi memeriahkan majlis. Selain itu, mendalami seni khat seperti yang dianjurkan oleh AJK Simpo pada hari terakhir juga adalah satu saluran kesenian yang juga boleh mengisi masa luang kita. Masa-masa terluang pelajar perlu diisi dengan aktiviti yang berfaedah seperti ini. Daripada hasil seni ini, kita dapat melihat kreativiti dan bakat seseorang terutamanya dalam menulis kalam Allah S.W.T. Inilah contoh nilai tambah yang perlu ada pada seseorang mahasiswa bagi menjadikan dirinya ‘laris’ di pasaran pekerjaan pada zaman sekarang.

Bila kita hayati kisah sejarah bagaimana Rasullullah S.A.W membawa Islam itu membersihkan seluruh Mekkah yang ketika itu dikuasai kafir Quraisy, ia adalah suatu usaha yang sangat mengkagumkan. Bagaimana mereka diseksa dan dibunuh, tetapi dengan iman dan taqwa, mereka tetap berpegang pada ajaran Allah. Berbanding zaman sekarang, banyak masalah yang melibatkan akidah umat Islam. Banyak yang sanggup murtad hanya disebabkan ingin mengikut kekasih atau mendapat habuan wang, belum lagi terseksa di medan perang. Tidak ketinggalan mereka yang lebih merbahaya iaitu golongan munafik, yang sering melemparkan fitnah dan bersekongkol dengan musuh Islam bagi menghancurkan Islam itu sendiri, moga Allah hindarkan kita daripada golongan-golongan ini.

Akhir sekali, dalam program Simpo turut diselitkan dengan pameran dan peringatan berkenaan saudara kita di Palestin yang pada waktu ini dihimpit rakus oleh musuh Islam Yahudi laknatullah dan rejim zionis itu sendiri. Sesungguhnya kita sebagai saudara seagama setidak-tidaknya menyokong penuh perjuangan Palestin yang dipimpin oleh Hamas. Walaupun kita tidak mampu berperang mahupun mengirim senjata, AJK Simpo telah membuat pameran untuk kita memulaukan barangan hasil keluaran Israel dan Amerika. Sesungguhnya setiap sen yang kita sumbangkan untuk membeli produk mereka adalah secebis daripada peluru yang manusuk tubuh anggota saudara kita yang makin teraniaya di palestin. Oleh itu, saya menyokong penuh agar kita memulaukan sehabis boleh barangan keluaran asing dan belilah barangan buatan Malaysia kerana ianya bukan sahaja bermutu malah tindakkan itu dapat membangunkan lagi ekonomi negara kita ini.

Alhamdulillah Simpo yang membawa sedikit kelainan daripada sesi lepas adalah menarik dan bersesuaian. Teruskan mencari idea baru dan menambah aktiviti-aktiviti supaya ia menjanjikan suatu kelainan setiap tahun tetapi mesej yang sama perlu dikongsi oleh setiap orang yang menyertainya. Dunia baru bukan hadir pada detik 12 tengah malam 1 Januari setiap tahun, mahupun hanya pada Maal Hijrah. Bak kata Ustaz Ridhuan Tee, dunia baru setiap insan bergelar Islam bermula selepas masuk waktu Maghrib itu sendiri bermakna bermulanya hari baru bagi umat Islam dan dunia baru bagi kita untuk terus berubah ke suatu keadaan yang lebih baik atau kekal seperti semalam mahupun lebih buruk daripada semalam, kita sendiri yang tentukan. Akhir kata, ayuh rakan-rakan sama-sama kita bergerak memacu perpaduan sesama kita Umat Islam dan juga bangsa lain dalam negara ini agar kita sentiasa harmoni, aman dan damai bagi memajukan negara kita menuju Wawasan 2020.

ASTAR is FIRST!
UM is ONE!!!

No comments:

Post a Comment